JAIS Jelaskan Punca Sebenar Jenazah Lewat Dikebumikan, Nafi Dakwaan Caj RM1,400, Kecuaian Masjid

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menafikan dakwaan bahawa kelewatan pengebumian satu jenazah di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Hulu Kelang berpunca daripada kecuaian pihak masjid atau tuntutan bayaran RM1,400 seperti yang tular di media sosial.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, hasil semakan mendapati insiden itu berlaku akibat salah faham dalam kalangan waris yang menyerahkan sepenuhnya urusan pengebumian kepada Badan Kebajikan Salatulrahim (BKS), yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan pihak masjid.

Menurut beliau, jenazah berkenaan merupakan ahli kariah Masjid Nurul Hidayah, Kampung Pandan Dalam dan meninggal dunia pada 25 Jun lalu pada jam 6.22 pagi.

Waris kemudiannya berhasrat mengebumikan jenazah di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana yang berada di bawah seliaan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Katanya, bapa si mati hanya hadir ke Masjid Nurul Hidayah sekitar jam 10.30 pagi untuk mendapatkan Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam yang diwajibkan bagi urusan pengebumian di tanah perkuburan berkenaan.

“Beliau turut bersetuju supaya pihak masjid mengambil alih urusan pengebumian daripada BKS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Shahzihan berkata, borang berkenaan dikeluarkan pada jam 11.15 pagi selepas pihak masjid menerima Daftar Kematian asal.

Bagaimanapun, pihak masjid dimaklumkan bahawa datuk kepada si mati tetap mahu urusan pengebumian dikendalikan oleh BKS.

Bimbang berlaku kekecohan ketika pengurusan jenazah, pihak masjid kemudian mendapatkan bantuan polis sebelum menuju ke Surau An-Nur, Taman Cempaka.

Namun, sebaik tiba di lokasi, pihak masjid dimaklumkan bahawa jenazah telah dibawa oleh BKS ke Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, sedangkan Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam dan Daftar Kematian asal masih berada dalam simpanan pihak masjid.

Akibat tindakan membawa jenazah tanpa dokumen sah, urusan pengebumian tidak dapat diteruskan sehingga pengurusan tanah perkuburan menghubungi pihak masjid dan memaklumkan jenazah sudah berada di liang lahad.

“Pihak masjid kemudiannya membawa dokumen yang sah ke tanah perkuburan bagi membolehkan pengebumian disempurnakan,” katanya.

Dalam masa sama, JAIS turut mendapati borang permohonan pengebumian yang dikemukakan kepada pengurusan tanah perkuburan bagi membolehkan jenazah dibawa ke liang lahad adalah dokumen palsu.

Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat semalam berhubung pemalsuan dokumen terbabit.

Sehubungan itu, JAIS menasihatkan umat Islam supaya sentiasa merujuk kepada pihak pengurusan masjid di kariah masing-masing bagi menguruskan pengebumian jenazah supaya proses tersebut berjalan lancar tanpa sebarang kelewatan.

Tegas Mohd Shahzihan, JAIS kekal berpegang kepada prinsip bahawa pengurusan jenazah umat Islam perlu disegerakan dan tidak seharusnya tertangguh akibat kepentingan mana-mana pihak.

BBerkaitan

Latest articles