KUALA LUMPUR: Kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin politik paling mendapat sokongan rakyat dalam tinjauan terbaharu Merdeka Center disifatkan sebagai isyarat jelas bahawa beliau wajar diberi peluang meneruskan kepimpinan negara bagi penggal kedua selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Pengerusi Biro Politik Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat Malaysia (SekPur), Shahbudin Embun berkata, dapatan tinjauan yang menunjukkan Anwar memperoleh kadar sokongan sebanyak 52 peratus membuktikan majoriti rakyat masih menaruh keyakinan terhadap prestasi pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
Beliau berkata, tahap sokongan itu bukan diperoleh secara kebetulan, sebaliknya lahir daripada pencapaian kerajaan sejak hampir empat tahun lalu yang berjaya mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum, menarik kemasukan pelaburan asing bernilai berbilion ringgit, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta mengukuhkan prestasi ringgit.
“Rakyat semakin yakin dengan kepimpinan Anwar kerana mereka dapat melihat hasil yang dicapai. Rekod pentadbiran beliau sejak 2022 membuktikan beliau layak dipertimbangkan untuk meneruskan khidmat sebagai Perdana Menteri bagi penggal kedua,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Shahbudin, laluan Anwar untuk memperoleh mandat baharu pada PRU16 adalah realistik kerana kerajaan pimpinannya telah berjaya mengembalikan kestabilan politik selepas negara berdepan ketidaktentuan yang berpanjangan.
Katanya, pelaksanaan pembaharuan ekonomi, pengukuhan disiplin fiskal, usaha memperbaiki tadbir urus dan kejayaan menarik pelaburan asing kini mula memperlihatkan impak yang boleh diukur.
“Walaupun masih berdepan pelbagai cabaran, terdapat petunjuk jelas bahawa Malaysia sedang bergerak ke arah yang lebih stabil. Di peringkat antarabangsa pula, kepimpinan Anwar semakin mendapat pengiktirafan dan berjaya meningkatkan keyakinan pelabur terhadap negara.
“Sejarah membuktikan kerajaan yang mampu mengekalkan kestabilan ekonomi, memperkukuh perpaduan politik dan konsisten melaksanakan reformasi lazimnya memasuki pilihan raya daripada kedudukan yang lebih kukuh,” katanya.
Tinjauan Merdeka Center turut menunjukkan 42 peratus responden berpandangan Malaysia kini berada di landasan yang betul.
Dalam senarai populariti pemimpin politik, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berada di tangga kedua dengan kadar sokongan 50 peratus.
Sementara itu, bagi blok pembangkang, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merekodkan sokongan 36 peratus, mengatasi Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang memperoleh 28 peratus.










