Anwar Nafi Wujud Larangan MB Johor Masuk Kawasan Felda

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada sebarang arahan daripada Kerajaan Persekutuan yang menghalang Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi atau mana-mana pemimpin lain daripada memasuki kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Menurut beliau, dakwaan berhubung kewujudan arahan sedemikian adalah tidak benar kerana Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri masing-masing mempunyai bidang kuasa serta tanggungjawab yang perlu dilaksanakan tanpa sebarang sekatan.

“Arahan tak ada. Kerajaan Persekutuan layan projek Persekutuan. Negeri, dia buat kerja negerilah. Apa nak riuh-riuh ini buat apa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat bersama penduduk di Masjid Jameatus Solehah, hari ini.

Anwar mengulas kenyataan Onn Hafiz yang sebelum ini mendakwa beliau menerima arahan supaya tidak memasuki kawasan Felda serta tidak dibenarkan menghadiri beberapa program yang berlangsung di tanah rancangan berkenaan.

Dalam kenyataannya, Onn Hafiz turut mempersoalkan tindakan tersebut sambil menegaskan kehadirannya ke kawasan Felda adalah bagi menjalankan tanggungjawab sebagai Menteri Besar untuk mendengar sendiri keluhan rakyat serta membantu menyelesaikan pelbagai isu yang dihadapi warga peneroka.

Beliau turut menekankan bahawa kawasan Felda bukan milik mana-mana individu atau parti politik, sebaliknya merupakan penempatan rakyat yang wajar diberikan perhatian dan pembelaan sewajarnya oleh semua pihak.

BBerkaitan

Latest articles