JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) Johor memperkenalkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) yang mengandungi 63 tekad berteraskan enam teras Maju Johor dengan tema “Maju Johor, Kestabilan Dikekalkan, Kemajuan Diteruskan”.
Manifesto itu diketengahkan berasaskan pengalaman mentadbir negeri sepanjang empat tahun lalu selepas diberikan mandat oleh rakyat Johor, dengan penekanan kepada kesinambungan dasar pembangunan dan kebajikan rakyat.
Antara komitmen utama yang diumumkan ialah memperkukuh Bantuan Kasih Johor (BKJ) secara lebih bersasar, menyediakan skim bayaran deposit sewaan rumah untuk golongan muda serta meningkatkan akses pemilikan rumah subsidi menerusi dana RM100 juta.
BN Johor turut berjanji meneruskan pelbagai inisiatif berkaitan perumahan termasuk Bantuan Rumah Pertama, Bantuan Masuk Rumah dan Bantuan Sewa Rumah bagi membantu rakyat memiliki kediaman sendiri.
Dalam aspek ekonomi dan pekerjaan, manifesto itu menyasarkan pewujudan 200,000 peluang pekerjaan berkualiti untuk anak Johor, selain menawarkan pengecualian bayaran lesen perniagaan bagi tahun pertama kepada penjaja serta peniaga kecil.
Bagi memperkukuh sektor perusahaan, BN Johor turut mencadangkan penambahan dana pembiayaan mikro tanpa faedah sebanyak RM100 juta serta usaha melonjakkan penyertaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam rantaian bekalan pelaburan strategik negeri.
Sektor pendidikan dan pembangunan belia turut diberi perhatian menerusi cadangan memperkukuh Dana Pendidikan Orang Muda Johor dengan peruntukan RM100 juta, di samping meneruskan pemberian insentif kepada mahasiswa anak Johor.
Manifesto itu juga menggariskan pelaksanaan Program Semarak Isya’ sebagai antara inisiatif yang disenaraikan.
Menurut BN Johor, setiap tekad yang digariskan dirangka berdasarkan keperluan semasa rakyat, merangkumi aspek peluang pekerjaan, keusahawanan, perumahan, pendidikan serta peningkatan kualiti hidup.
BN turut menegaskan manifesto berkenaan bukan sekadar tawaran pilihan raya, sebaliknya disandarkan kepada pengalaman mentadbir serta rekod pelaksanaan dasar yang didakwa telah memberi manfaat kepada rakyat negeri itu.
Sehubungan itu, BN Johor menyeru pengundi memberikan mandat baharu bagi membolehkan agenda pembangunan negeri diteruskan demi memastikan kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan Johor dapat diperkukuhkan.










