Pemuda UMNO Johor Lapor Polis Cubaan Puad Heret Istana Dalam Isu PRN ​

​PASIR GUDANG: Pemuda UMNO Negeri Johor hari ini membuat laporan polis terhadap bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berhubung kenyataan beliau yang didakwa menghasut dan mencemarkan kemuliaan Institusi Diraja Johor.

​Laporan berkenaan dibuat bersama Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, di sini tengah hari tadi.

​Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata walaupun pihaknya menghormati keputusan peribadi Mohd Puad untuk keluar daripada parti, namun mereka amat kesal dengan tindakan beliau melemparkan tohmahan tanpa asas yang menjejaskan imej UMNO.

​”Apa yang lebih mengecewakan adalah apabila beliau turut mengheret Institusi Diraja Johor dalam perdebatan politik.

​”Ini membuatkan pimpinan UMNO Johor tidak ada pilihan selain terpaksa membuat laporan polis, bagi membolehkan pihak berkuasa membuat siasatan secara menyeluruh dan adil terhadap cubaan beliau menghasut serta mencemarkan kemuliaan Institusi Diraja Johor melalui kenyataannya pagi tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

​Katanya, sayap parti itu kini menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan mengikut lunas undang-undang yang diperuntukkan.

​Kenyataan itu turut menyeru agar seluruh jentera parti tidak terganggu dengan isu berkenaan dan kekal fokus memberikan tumpuan serta tenaga bagi persiapan menjelang hari penamaan calon Sabtu ini.

​Terdahulu, Mohd Puad mengumumkan keluar daripada UMNO berkuat kuasa serta-merta hari ini dengan mendakwa UMNO Johor kini dikawal oleh pihak Istana dalam membuat keputusan termasuk berkaitan isu pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

​Bagaimanapun, dakwaan tersebut telah dinafikan sekeras-kerasnya oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menegaskan proses pembubaran berkenaan dilakukan mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

BBerkaitan

Latest articles