MELAKA: Helah seorang warga emas menawarkan wang RM5 dan mi goreng kepada dua murid perempuan sebelum dipercayai mencabul mereka akhirnya terbongkar selepas kedua-dua mangsa menceritakan kejadian itu kepada guru kaunseling sekolah.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, suspek berusia 73 tahun itu dipercayai melakukan perbuatan berkenaan di sebuah stor masjid di Semabok yang terletak berhampiran sekolah mangsa.
Menurut beliau, hasil siasatan mendapati suspek yang tidak berkahwin dipercayai berulang kali melakukan perbuatan tersebut terhadap dua kanak-kanak berusia lapan dan 10 tahun sejak 16 Jun lalu.
Katanya, suspek turut meminta mangsa merahsiakan kejadian itu, namun perubahan tingkah laku mereka yang menjadi lebih pendiam menarik perhatian pihak sekolah.
“Guru memanggil kedua-dua mangsa untuk sesi kaunseling sebelum mereka mendedahkan kejadian yang berlaku.
“Penjaga mangsa kemudian dimaklumkan dan satu laporan polis dibuat semalam. Kedua-dua mangsa kini masih menerima sesi kaunseling,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang, hari ini.
Dzulkhairi berkata, kejadian dipercayai berlaku selepas waktu persekolahan ketika mangsa menunggu ibu bapa masing-masing di kawasan masjid berkenaan.
Beliau berkata, suspek dipercayai mendekati mangsa dengan menawarkan wang dan makanan sebelum membawa mereka ke stor lalu melakukan perbuatan cabul.
Susulan laporan yang diterima, polis menahan suspek dan memperoleh perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.










