Kemelut Adat Rembau Memuncak, Dakwaan Pelantikan Undang Baharu Dinafikan

SEREMBAN: Krisis melibatkan institusi adat Negeri Sembilan terus berlarutan apabila muncul dakwaan bahawa proses pelantikan Undang Luak Rembau yang baharu akan dimulakan menerusi istiadat mengadap Tunku Besar Seri Menanti di Istana Besar Seri Menanti, hari ini.

Menurut laporan Astro Awani, rombongan yang dikatakan mewakili Dato-dato Lembaga Luak Rembau dijadual mengadap Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz, bagi memohon perkenan menetapkan tarikh Istiadat Mengadap Bagi Menzahirkan Kejadian Undang untuk bakal Undang Rembau yang baharu.

Bagaimanapun, perkembangan itu segera dinafikan oleh Dato Lembaga Kanan Tiang Balai Baruh Institusi Balai Rasmi Undang Luak Rembau, Dato Merbangsa Azmi Ahmad.

Memetik laporan Malaysiakini, Azmi menegaskan semua Dato Lembaga dan Orang Besar yang sah dalam Luak Rembau masih memberikan sokongan penuh kepada Undang Rembau, YTM Dato Sedia Raja Abdul Rahim Yasin.

Beliau turut mendakwa individu yang terlibat dalam urusan berkenaan bukan terdiri daripada pemegang jawatan adat yang sah, malah ada antara mereka telah dipecat sebelum ini.

“Tiada seorang pun Dato-Dato Lembaga dan Orang Besar yang sah terlibat dengan hal ini. Kesemua Lembaga dan Orang Besar Undang berdiri teguh bersama YTM Dato Sedia Raja,” katanya kepada Malaysiakini.

Azmi berkata pihaknya akan mengadakan sidang pada petang ini sebelum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu tersebut.

Kemelut di Rembau berlaku ketika Negeri Sembilan masih berdepan krisis adat yang tercetus sejak April lalu, susulan pertikaian melibatkan institusi Undang dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Di Rembau sendiri, pertikaian mengenai pewarisan jawatan Undang dilaporkan berlarutan lebih dua tahun, membabitkan dakwaan bahawa proses penetapan Kampung Pulau sebagai lubuk benih pesaka Undang Luak Rembau Ke-22 tidak mengikut adat yang ditetapkan.

BBerkaitan

Latest articles