PCM Tak Tanding PRN Johor, Sebaliknya Mahu Jadi ‘Jambatan’ Perpaduan PN

KUALA LUMPUR: Parti Cinta Malaysia (PCM) yang kini dalam proses penjenamaan semula sebagai Parti Wawasan Negara, mengumumkan keputusan untuk tidak meletakkan calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

​Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, keputusan itu dibuat bagi mengelakkan pertembungan kerusi sesama parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN), selain mahu parti itu bertindak sebagai ‘jambatan’ yang memperkukuh perpaduan politik Melayu.

​Beliau menjelaskan bahawa walaupun tidak bertanding, parti itu akan menyatakan sokongan penuh kepada barisan calon PN yang dirasakan layak dan mampu memacu masa depan ekonomi negeri Johor.

​”Kita telah membuat keputusan untuk tidak menyertai PRN Johor. Namun, tidak menyertai bukan bermakna kita tidak menyokong.

​”Kita akan mengumumkan sokongan kepada barisan calon yang kita rasa layak untuk menguruskan negeri Johor pada masa hadapan selepas Majlis Tertinggi parti bersidang dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang media, hari ini.

​Hamzah, yang baru-baru ini mengambil alih kepimpinan parti, turut mengesahkan bahawa PCM telah diterima secara rasmi sebagai anggota komponen PN oleh Majlis Tertinggi gabungan tersebut.

​Mengulas mengenai status pendaftaran parti, beliau menyelar dakwaan pihak tertentu di media sosial yang mempersoalkan kesahihan parti itu dengan menegaskan PCM adalah sebuah parti lama yang sah dan telah didaftarkan sejak 8 Jun 2009.

​Ditanya usul pertukaran nama kepada ‘Parti Wawasan Negara’, Hamzah memberitahu usul tersebut telah diluluskan sebulat suara oleh perwakilan parti mengikut perlembagaan sedia ada dan dokumen berkaitan telah diserahkan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk tindakan lanjut.

​Sementara itu, ketika ditanya mengenai hala tuju parti di negeri lain, Hamzah membayangkan senario berbeza bagi PRN Negeri Sembilan.

​Beliau mengesahkan bahawa parti itu bersedia sepenuhnya untuk meletakkan calon dan bertanding dalam pilihan raya di negeri tersebut apabila tiba masanya nanti.

BBerkaitan

Latest articles