JOHOR BAHRU: Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh membidas dakwaan bahawa UMNO Johor sudah hilang aspirasi terhadap golongan muda, sambil mempersoalkan pendirian Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang sebelum ini lantang menggesa lebih ramai calon muda diketengahkan.
Menurut Akmal, kenyataan tersebut bercanggah dengan tindakan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu yang dilihat tidak berpuas hati apabila anaknya tidak terpilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
“UMNO bukan parti anak-beranak. Ramai lagi anak muda yang berkelayakan dan telah diberikan peluang untuk bertanding.
“Hanya kerana anak seseorang tidak dipilih sebagai calon, tidak bermakna UMNO sudah tidak memperjuangkan aspirasi generasi muda,” katanya menerusi satu video yang dimuat naik di Facebook pada Khamis.
Akmal berkata, BN Johor telah membuktikan komitmennya terhadap agenda peremajaan parti apabila mempertaruhkan 13 calon berusia bawah 40 tahun dalam PRN kali ini.
Beliau turut mengingatkan bahawa Mohd Puad sendiri pernah menyuarakan pandangan supaya lebih ramai muka baharu dan calon muda diberi ruang dalam pilihan raya.
“Apabila parti melaksanakan apa yang beliau sendiri perjuangkan, tidak wajar pula timbul dakwaan bahawa UMNO sudah tidak lagi mempunyai hala tuju untuk orang muda hanya kerana kehendak tertentu tidak dipenuhi,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Akmal menegaskan Pemuda UMNO akan membuat laporan polis berhubung dakwaan yang didakwa mengaitkan institusi diraja dengan proses pemilihan calon PRN Johor.
Katanya, sebarang kenyataan yang boleh mencetuskan persepsi negatif terhadap institusi raja merupakan perkara serius dan perlu disiasat oleh pihak berkuasa.
“Tuduhan yang mengaitkan institusi diraja adalah sangat berat. Kita mahu siasatan dilakukan segera dan sekiranya dakwaan tersebut tidak benar, tindakan sewajarnya perlu diambil mengikut lunas undang-undang,” tegasnya.
Terdahulu, Mohd Puad mengumumkan keluar daripada UMNO selepas meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pemilihan calon BN bagi PRN Johor, sekali gus mencetuskan polemik dalam parti menjelang hari penamaan calon.










