KUALA LUMPUR, — Kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa Malaysia kini berada dalam suasana “feel of fear” mengundang pelbagai reaksi di media sosial, dengan majoriti pengguna tampil memberikan komen sinis serta mengaitkan kenyataan itu dengan rekod pentadbiran beliau ketika menerajui negara.
Tinjauan terhadap ratusan komen yang dimuat naik di media sosial mendapati sebahagian besar pengguna tidak memberi tumpuan kepada dakwaan mengenai keadaan semasa negara. Sebaliknya, perbincangan lebih banyak tertumpu kepada sejarah pentadbiran Tun Dr Mahathir sendiri.
Antara isu yang paling banyak dibangkitkan ialah penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Operasi Lalang pada 1987, krisis kehakiman 1988 serta beberapa episod lain yang dikaitkan dengan era pemerintahannya.
Seorang pengguna media sosial, Steven Wong, menulis ringkas, “Remember Operation Lalang!”, manakala Seng Kim Chew pula berkata, “We, Malaysians feel fear during Operation Lalang.”
Nada sama turut dikongsi Nicholas Wong yang menyifatkan kenyataan tersebut sebagai ironi dengan menulis, “The one who planted the seed is now complaining, the irony…”, sementara Saravanan Thiagarajan pula meninggalkan komen ringkas, “Look who’s talking.”
Selain mengungkit peristiwa sejarah, sebahagian pengguna turut mempersoalkan dakwaan berhubung suasana ketakutan itu dengan meminta ia disertakan bukti yang jelas.
Vincent Eow, misalnya, menulis, “Be direct, dunno which cases you are referring to,” manakala Ethan Chan berpandangan bahawa dakwaan mengenai kedaulatan undang-undang dan penyalahgunaan kuasa perlu disokong dengan fakta serta contoh kes yang boleh dinilai secara objektif.
Bagaimanapun, terdapat juga sebilangan pengguna yang berpendapat isu berkaitan kedaulatan undang-undang serta kebebasan institusi wajar terus dibincangkan secara terbuka, meskipun jumlah komen sedemikian dilihat jauh lebih kecil berbanding reaksi sinis yang mendominasi ruang perbincangan.
Secara keseluruhannya, pemerhatian terhadap ratusan komen menunjukkan naratif media sosial telah beralih daripada membincangkan dakwaan “feel of fear” kepada penilaian terhadap rekod pentadbiran lampau Tun Dr Mahathir.
Antara tema yang paling kerap berulang dalam perbincangan ialah rujukan kepada ISA, Operasi Lalang, krisis kehakiman 1988 serta persoalan sama ada budaya politik berasaskan ketakutan yang diperkatakan hari ini mempunyai kaitan dengan sejarah pentadbiran negara sebelum ini.










