AGC Tegaskan Pengumuman MMKN Negeri Sembilan Tiada Kesan Undang-Undang

SEREMBAN: Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan pengumuman Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan berhubung penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar pada 15 September lalu tidak mempunyai sebarang kesan di sisi undang-undang.

AGC berkata, MMKN Negeri Sembilan tidak mempunyai bidang kuasa, autoriti atau kuasa di bawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) untuk membuat pengumuman berkenaan.

Menurut kenyataan itu, tindakan mewartakan atau melaksanakan proklamasi bertarikh 19 April yang dijadikan sandaran MMKN juga tidak sah kerana bercanggah dengan perlembagaan.

“Berdasarkan perkara-perkara di atas, tindakan pewartaan atau apa-apa tindakan pelaksanaan proklamasi tersebut adalah menjadi suatu tindakan yang tidak sah kerana tidak berperlembagaan,” menurut kenyataan AGC.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas MMKN Negeri Sembilan semalam mempertahankan kesahan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz serta mengiktiraf Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang Dipertuan Besar baharu.

MMKN mendakwa proklamasi 19 April ditandatangani dan dicop mohor oleh Undang Luak yang sah serta berkuat kuasa. Proklamasi itu kemudiannya ditandatangani Menteri Besar Ismail Lasim pada 3 Ogos, yang menurut MMKN menjadikannya sempurna di bawah Perkara 10(2) UUTKNS.

Bagaimanapun, AGC menolak tafsiran berkenaan dengan menegaskan bahawa menteri besar dan MMKN tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang Dipertuan Besar.

Kesahan proklamasi tertakluk kepada proses undang-undang

AGC menjelaskan bahawa kesahan dan kesan undang-undang proklamasi berkenaan perlu ditentukan melalui proses perlembagaan dan undang-undang yang sah, khususnya berdasarkan peruntukan UUTKNS.

Jabatan itu turut mengulangi pendirian awal bahawa proklamasi 19 April tidak sah kerana gagal memenuhi kehendak mandatori Perkara 10 UUTKNS.

“…khususnya tiada sebarang keterangan bahawa mana-mana faktor hilang kelayakan yang dinyatakan dalam Perkara 10(1) UUTKNS terpakai kepada Tuanku Muhriz,” katanya.

Menurut AGC, walaupun Undang mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan menurunkan Yang Dipertuan Besar daripada takhta, kuasa itu perlu dilaksanakan mengikut tatacara serta asas pertimbangan yang ditetapkan dalam Perkara 10 UUTKNS.

“Setakat hari ini tiada fakta yang menunjukkan tatacara yang diperuntukkan tersebut telah dipatuhi,” katanya.

Kedudukan Undang Yang Empat turut dipersoalkan

Dalam perkembangan sama, AGC membangkitkan persoalan mengenai kesahan beberapa Undang yang menandatangani proklamasi berkenaan.

Jabatan itu berkata, terdapat Undang yang didakwa tidak lagi memegang jawatan secara sah selepas diturunkan mengikut adat di luak masing-masing.

“Keabsahan beberapa Undang yang menandatangani proklamasi tersebut adalah dipertikaikan kerana penurunan mereka telah dilakukan melalui adat di luak masing-masing. Oleh itu sebenarnya komposisi Undang Yang Empat adalah tidak lengkap pada masa yang material,” katanya.

AGC bagaimanapun menegaskan pihaknya menghormati kedudukan Undang serta mengakui bahawa pelantikan dan penurunan mereka tertakluk kepada peraturan adat di luak masing-masing.

DKU mempunyai bidang kuasa persoalan adat Melayu

Pada masa sama, AGC mengambil maklum bahawa persoalan adat Melayu, termasuk pemilihan, pelantikan, peletakan dan pemecatan jawatan Undang serta perkara yang dibawa oleh Yang Dipertuan Besar, berada dalam bidang kuasa Dewan Undangan dan Keadilan (DKU).

Perkara 16(3) UUTKNS memperuntukkan bahawa nasihat DKU mengenai persoalan berkenaan adalah muktamad dan tidak boleh dicabar atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan.

“Menurut Perkara 16(3) UUTKNS, nasihat Dewan mengenai persoalan sedemikian adalah muktamad dan tidak boleh dicabar atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan,” katanya.

AGC turut mengingatkan bahawa isu berkenaan kini sedang dalam prosiding di Mahkamah Tinggi, selain terdapat perintah injunksi interlocutory yang masih berkuat kuasa.

Sehubungan itu, jabatan berkenaan menyeru semua pihak menghormati proses mahkamah dan memberi ruang supaya perkara tersebut diselesaikan mengikut saluran undang-undang.

DKU sebelum ini pertikai keputusan MMKN

Terdahulu, DKU menegaskan keputusan MMKN Negeri Sembilan berkaitan penurunan takhta Tuanku Muhriz tidak mempunyai kesan undang-undang kerana perkara itu berada di luar bidang kuasa kerajaan negeri.

Setiausaha Raja, Norazli Raja Nordin, berkata perkara berkaitan adat Melayu, termasuk pemilihan, pelantikan, peletakan dan pemecatan Yang Dipertuan Besar serta Undang, terletak di bawah bidang kuasa DKU sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara XVI UUTKNS.

BBerkaitan

Latest articles