PUTRAJAYA — Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang meneliti tindakan dan prosedur perundangan yang sewajarnya terhadap pihak yang mengeluarkan tuduhan tidak berasas berhubung sistem kemasukan ke universiti awam, termasuk dakwaan kononnya institusi berkenaan “menjual tempat” kepada pelajar yang berkemampuan.
KPT dalam satu kenyataan hari ini berkata, kementerian memandang serius beberapa tuduhan yang terus diulang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr Haim Hilman Abdullah, termasuk dakwaan bahawa puluhan ribu pelajar memasuki Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) melalui “pintu belakang”.
Menurut kementerian itu, rakaman video ucapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkenaan yang disiarkan menerusi Facebook sempena Ceramah Umum Ambang Pilihan Raya Negeri Sembilan pada 13 Jun lalu merupakan antara kenyataan terkini yang dibangkitkan.
“KPT memandang serius tuduhan sedemikian kerana ia bukan sahaja sangat berat, malah berpotensi menjejaskan reputasi dan kredibiliti keseluruhan sistem pendidikan tinggi negara, termasuk universiti awam, pengurusan universiti, pegawai kerajaan serta ribuan pelajar yang mengikuti saluran kemasukan yang sah,” menurut kenyataan itu.
Kementerian menjelaskan bahawa ini bukan kali pertama tuduhan seumpama itu dilemparkan terhadap KPT.
Bagaimanapun, KPT menegaskan kementerian sentiasa terbuka menerima kritikan yang membina dan berasaskan fakta, namun sebarang dakwaan yang boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi pendidikan tinggi negara perlu disokong dengan bukti yang kukuh.
Sehubungan itu, KPT berkata pihaknya sedang mempertimbangkan tindakan perundangan yang sewajarnya bagi mempertahankan integriti kementerian, universiti awam serta sistem pendidikan tinggi negara daripada fitnah dan tuduhan yang tidak berasas.
“KPT juga tidak akan membenarkan sebarang pihak melemparkan tuduhan yang mencemarkan nama baik institusi pendidikan negara tanpa bertanggungjawab terhadap kenyataan yang dibuat,” menurut kementerian itu.










