SEREMBAN – Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Saiful Yazan Sulaiman memandang serius sebuah rakaman video yang tular di media sosial memaparkan seorang pegawai kepada Menteri Besar Negeri Sembilan menggelarkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook sebagai “Undang Yang Ke-5”.
Menurut beliau, kenyataan tersebut yang dibuat ketika Majlis Pelancaran Jentera Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan baru-baru ini adalah tidak wajar kerana membabitkan sebuah institusi adat yang mempunyai kedudukan dan kemuliaan tersendiri dalam sistem kenegaraan Negeri Sembilan.
“Gelaran Undang bukan bahan jenaka politik. Gelaran tersebut mempunyai kedudukan, sejarah dan kemuliaannya yang tersendiri dalam sistem Adat Perpatih dan kenegaraan Negeri Sembilan.
“Perbuatan mengaitkan mana-mana pemimpin politik dengan gelaran Undang, walaupun atas alasan gurauan atau sindiran, adalah tidak wajar, tidak sensitif dan menunjukkan kegagalan memahami nilai serta kedudukan Institusi Adat Negeri Sembilan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Saiful Yazan berkata, beliau turut kecewa kerana kenyataan berkenaan didakwa datang daripada individu yang berada dalam lingkungan pentadbiran kerajaan negeri yang sepatutnya menjadi contoh dalam menghormati adat serta institusi negeri.
Sehubungan itu, beliau mendesak Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyatakan pendirian secara terbuka mengenai insiden berkenaan.
“Menteri Besar tidak boleh berdiam diri atau berpura-pura menganggap perkara ini remeh. Kegagalan bertindak hanya akan memberikan gambaran bahawa sikap memperlekehkan institusi adat turut diterima dan dibenarkan oleh pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa pegawai yang terlibat supaya membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat Negeri Sembilan serta Institusi Undang Yang Empat.
Menurutnya, permohonan maaf tersebut perlu dilakukan tanpa sebarang alasan atau helah sebagai tanda bertanggungjawab terhadap kenyataan yang telah mencetuskan kontroversi.
“Permohonan maaf itu perlu dibuat segera bagi menunjukkan rasa tanggungjawab atas keterlanjuran yang telah berlaku,” katanya.
Saiful Yazan turut menegaskan bahawa rakyat Negeri Sembilan tidak akan membenarkan adat, institusi dan warisan negeri itu dipermainkan demi kepentingan atau retorik politik mana-mana pihak.
“Institusi adat bukan milik parti politik. Institusi adat adalah maruah Negeri Sembilan.
“Adat mesti dijunjung. Institusi harus dipertahan. Maruah negeri tidak boleh dipermainkan,” katanya.










