KUALA LUMPUR: Sebarang impak positif terhadap ekonomi susulan potensi perjanjian damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran tidak dijangka dapat dirasai dalam tempoh terdekat kerana proses pemulihan laluan perdagangan strategik serta infrastruktur yang terjejas akibat konflik memerlukan masa yang panjang.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, walaupun perkembangan diplomatik itu memberi harapan kepada pasaran global, pemulihan menyeluruh tidak boleh berlaku serta-merta terutama melibatkan laluan kritikal seperti Selat Hormuz yang memainkan peranan penting dalam perdagangan dan penghantaran tenaga dunia.
Menurut beliau, sekiranya perjanjian damai yang dilaporkan benar-benar menjadi kenyataan, usaha mengembalikan operasi perdagangan kepada tahap normal tetap memerlukan tempoh tertentu bagi memastikan semua kerosakan dan gangguan yang berlaku sebelum ini dapat dipulihkan sepenuhnya.
“Pemulihan keadaan, termasuk aspek laluan perdagangan dan infrastruktur yang terkesan akibat konflik, bukan sesuatu yang boleh diselesaikan dalam masa singkat. Ia memerlukan proses yang berperingkat sebelum manfaatnya dapat dirasai,” katanya kepada media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi di Menara Prisma, hari ini.
Akmal mengulas laporan media antarabangsa yang menyebut bahawa AS dan Iran telah mencapai persetujuan damai yang merangkumi penamatan operasi ketenteraan secara serta-merta dan berkekalan di beberapa medan konflik di Asia Barat, termasuk di Lubnan, dengan Pakistan bertindak sebagai negara pengantara.
Perkembangan itu dilihat sebagai petunjuk kepada berakhirnya ketegangan yang berlarutan lebih tiga bulan di rantau berkenaan.
Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, turut memaklumkan menerusi platform X bahawa perjanjian tersebut telah dicapai dan majlis pemeteraian rasmi dijadual berlangsung di Switzerland pada 18 Jun ini.
Malah, Presiden AS, Donald Trump dilaporkan mengesahkan bahawa persetujuan dengan Iran telah dimuktamadkan, sekali gus meningkatkan harapan terhadap kestabilan geopolitik dan ekonomi global.
Mengulas kesannya terhadap Malaysia, Akmal berkata konflik yang berlaku sebelum ini telah memberi tekanan ketara kepada ekonomi dunia, khususnya berkaitan bekalan dan harga minyak yang turut memberi kesan kepada negara.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan tidak boleh terlalu cepat berasa selesa walaupun terdapat perkembangan positif dalam rundingan damai kerana keadaan masih terdedah kepada pelbagai faktor luar jangka yang berpotensi mengubah situasi semasa.
Justeru, katanya, kerajaan akan terus memantau perkembangan krisis tersebut dan mengambil langkah bersesuaian bagi mengurangkan tekanan ekonomi melalui platform seperti Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).
“Mesyuarat MTEN akan diteruskan sehingga terdapat gambaran yang benar-benar jelas bahawa krisis ini telah berakhir dan keadaan kembali stabil,” katanya.










