BENTONG: Pemandu treler yang terbabit dalam nahas tragis sehingga meragut nyawa empat sekeluarga di Kilometer 43.2 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) arah Karak semalam disahkan positif dadah jenis methamphetamine.
Ketua Polis Bentong, ACP Zaiham Mohd Kahar berkata, lelaki berusia 40 tahun itu ditahan selepas keputusan ujian saringan air kencing yang dijalankan sebaik dia selesai menerima rawatan di hospital mendapati terdapat kandungan bahan terlarang dalam tubuhnya.
Menurut beliau, suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong untuk tindakan lanjut sebelum ditahan kira-kira jam 4 pagi tadi.
Lelaki berkenaan seterusnya dibawa ke Mahkamah Raub bagi mendapatkan perintah reman untuk membantu siasatan.
Perkembangan terbaharu itu menambah perhatian terhadap kes nahas berkenaan yang mengorbankan empat ahli keluarga dalam kejadian menyayat hati petang semalam.
Sebelum ini, polis turut mengesahkan pemandu treler tersebut mempunyai 15 rekod saman trafik.
Dalam insiden kira-kira jam 4 petang itu, sebuah treler yang membawa muatan habuk kayu dipercayai hilang kawalan ketika melalui laluan selekoh menuruni bukit sebelum terbabas.
Kenderaan berat itu kemudian menghempap sebuah kereta yang dinaiki mangsa.
Empat mangsa yang maut di lokasi dikenal pasti sebagai A Halim Hasoon, 55, Rozita Buang, 58, Norbahyah A Halim, 26, serta seorang bayi perempuan berusia setahun, Nayla Afya Aizat.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, siasatan awal mendapati treler terbabit sedang dalam perjalanan menghantar muatan dari Kuala Lumpur menuju ke Kuantan ketika kemalangan berlaku.
Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar nahas yang meragut empat nyawa dalam sekelip mata itu.










