SEREMBAN: Parti Bersama Malaysia (Bersama) menyasarkan majoriti calon yang bakal diketengahkan pada pilihan raya akan datang terdiri daripada golongan muda, termasuk bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Pemimpin Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, parti itu berharap sekurang-kurangnya 70 peratus calon yang dipilih berusia bawah 50 tahun sebagai sebahagian usaha membawa pembaharuan dalam landskap politik negara.
Menurutnya, baki 30 peratus lagi masih memberi ruang kepada calon yang lebih berpengalaman untuk terus menyumbang kepada parti dan masyarakat.
Berucap pada satu ceramah di Seremban malam semalam, Rafizi turut menegaskan komitmen Bersama untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam politik dengan meletakkan sasaran 50 peratus calon wanita pada pilihan raya akan datang.
Katanya, parti itu sedang mencari calon wanita yang berkelayakan daripada pelbagai latar belakang kaum termasuk Melayu, Cina dan India bagi memastikan representasi yang lebih seimbang dalam barisan kepimpinan dan calon pilihan raya.
Dalam perkembangan sama, Rafizi memaklumkan Bersama yang baru dilancarkan kira-kira tiga minggu lalu telah berjaya menarik penyertaan sekitar 25,000 ahli.
Beliau optimis jumlah itu mampu meningkat kepada 50,000 orang dalam tempoh sebulan sekiranya momentum sokongan terhadap parti berkenaan terus berkembang.










