Sarawak Perluas Bekalan Elektrik Rentas Sempadan Ke Kalimantan, Sabah Dan Brunei

​KUCHING: Sarawak bersedia memperluaskan peranan sebagai hab tenaga hijau serantau apabila merancang untuk membekalkan bekalan tenaga elektrik ke negara jiran, Brunei Darussalam.

​Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah berkenaan mengukuhkan lagi hubungan tenaga rentas sempadan yang sebelum ini telah direalisasikan menerusi bekalan elektrik ke Kalimantan, Indonesia serta kerjasama yang sedang diperkukuh bersama Sabah.

​Beliau menjelaskan, pengiktirafan Bank Pembangunan Asia (ADB) yang bersedia bekerjasama dengan Sarawak turut membuktikan keupayaan negeri itu dalam menjana serta mengedar kuasa elektrik ke negara-negara ASEAN demi menjamin keterjaminan tenaga rantau ini.

​”Hari ini kita sudah melihat potensi hubungan tenaga rentas sempadan melalui bekalan elektrik ke Kalimantan, Indonesia dan hubungan yang sedang dipukul dengan Sabah, manakala Sarawak juga merancang untuk membekalkan elektrik kepada negara Brunei Darussalam.

“Ini menunjukkan bahawa tenaga Sarawak mempunyai peranan yang semakin penting dalam pembangunan Borneo dan ASEAN,” katanya.

​Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Sambutan Hari Malaysia 2026 di sini malam tadi.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; serta barisan menteri kabinet Persekutuan dan Negeri.

​Mengulas mengenai potensi pelaburan hijau, Abang Johari memberitahu bahawa kawasan Bintulu telah dipilih sebagai salah satu daripada 40 kluster industri transisi (TIC) di seluruh dunia serta yang pertama di Malaysia di bawah kelolaan Forum Ekonomi Dunia (WEF).

​Tambah beliau, kawasan Tanjung Manis pula direka bentuk sebagai hab rendah karbon yang disokong oleh kemudahan infrastruktur moden seperti lapangan terbang antarabangsa serta pelabuhan laut dalam yang baharu.

​”Hub rendah karbon ini akan menyuntik dana yang amat besar kepada Malaysia dan juga kepada Sarawak yang akan datang dengan anggaran pelaburan keseluruhan dianggarkan sebanyak RM100 bilion,” jelas beliau.

​Beliau menambah, kejayaan itu adalah hasil daripada pelaksanaan dasar jangka panjang yang mantap di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dalam memacu ekonomi hijau dan mampan.

​Menurut beliau, menerusi kerjasama erat antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan serta kestabilan politik negara, Sarawak yakin dapat mencapai sasaran menjadi negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.

BBerkaitan

Latest articles