KUALA LUMPUR: Penelitian terhadap pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) perlu diperluas sehingga merangkumi tempoh 2021 hingga 2024, termasuk ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim menerajui Kerajaan Perpaduan.
Perdana Menteri berkata, siasatan tidak seharusnya terhenti pada tempoh yang ditetapkan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH, sebaliknya perlu meneliti perkembangan pengurusan institusi itu dalam tahun-tahun berikutnya.
“Jangan berhenti setakat 2020. Tanya juga apa yang berlaku 2021, 2022, 2023 dan ada 2024 semasa saya perdana menteri. Silakan.
“Kita kalau tak curi wang tak perlu takut. Siasatlah,” katanya dalam sebuah program audio siar.
RCI TH ditubuhkan pada 2021 bagi menyiasat pengurusan, operasi serta isu berkaitan aset institusi itu sepanjang tempoh 2014 hingga 2020.
Laporan berkenaan dimuktamadkan pada Julai 2022 sebelum dinyahklasifikasi dan didedahkan kepada umum pada 29 Julai lalu.
Pendedahan laporan itu kemudian menyaksikan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom, dan bekas Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, didakwa di mahkamah. Kedua-duanya bagaimanapun mengaku tidak bersalah.
Jamil Khir berdepan tiga pertuduhan menyebabkan TH melupuskan aset bernilai lebih RM860.3 juta antara 2015 hingga 2017.
Abdul Azeez pula didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan jawatan pengerusi sebuah syarikat dengan gaji RM690,000, kira-kira 12 tahun lalu.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada 31 Julai lalu memaklumkan Kabinet bersetuju supaya tempoh penelitian RCI TH diperluaskan bagi merangkumi era pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).
Anwar turut menjelaskan bahawa keputusan mendedahkan laporan RCI TH kepada umum bukan dibuat secara bersendirian, sebaliknya diputuskan bersama Jemaah Menteri.
Menurut beliau, perkara itu dibawa untuk mendapatkan persetujuan timbalan perdana menteri dan menteri sebelum diputuskan supaya laporan berkenaan didedahkan dengan segera.
“Saya kemukakan dan tanya timbalan perdana menteri, menteri-menteri macam mana? Setuju? Okay setuju.
“Bila? Segera. Tapi syarat, biar boleh bahas di Parlimen,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan bahawa penentuan sama ada seseorang melakukan kesalahan atau perlu didakwa bukan bidang kuasa perdana menteri.
Sebaliknya, beliau berkata, proses berkenaan perlu diserahkan kepada pihak berkuasa penyiasat dan agensi undang-undang berdasarkan penelitian serta fakta yang dikemukakan.
Katanya, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertanggungjawab menjalankan siasatan, manakala keputusan pendakwaan dan penentuan kesalahan dibuat melalui proses perundangan.
“Saya tidak mahu terlibat dalam apa-apa langkah yang menzalimi orang lain kerana saya mengerti harga zalim itu.
“Orang yang tak salah takkan disabitkan, bila ke mahkamah, ia putuskan berdasarkan fakta,” katanya.










