BUKIT KAYU HITAM: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam menyita 26,040kg ayam sejuk beku bernilai RM208,320 yang disyaki menggunakan sijil halal palsu untuk tujuan pengimportan ke negara ini pada 8 Jun lepas.
Komander AKPS Bukit Kayu Hitam Fauzi Mohd Yusof berkata penahanan itu dilakukan oleh pegawai Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) selepas menerima pengisytiharan import daripada ejen pengimport bagi tujuan pemeriksaan serta pengesahan.
Beliau berkata semakan awal mendapati wujud keraguan terhadap sijil halal yang dikemukakan apabila maklumat dalam sistem tidak sepadan dengan maklumat pada sijil berkenaan.
“Perkara itu kemudian dirujuk kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi tujuan pengesahan dan pada 12 Jun, Jakim mengesahkan bahawa sijil halal yang dikemukakan adalah palsu.
“Susulan itu, tindakan penahanan dan penyitaan dilaksanakan bagi membolehkan siasatan serta tindakan lanjut diambil oleh pihak Maqis,” katanya dalam kenyataan.
Fauzi berkata siasatan awal mendapati ejen atau wakil pengimport dipercayai menggunakan dokumen palsu bagi melepasi pemeriksaan agensi penguat kuasa.
Beliau berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan wujud sindiket yang terlibat dalam pengeluaran dan penggunaan sijil halal palsu bagi tujuan pengimportan produk makanan ke Malaysia.
Selain muatan ayam sejuk beku itu, Fauzi berkata sebuah treler yang digunakan untuk membawa konsainan berkenaan turut ditahan menjadikan keseluruhan nilai sitaan berjumlah RM233,320.
Fauzi juga berkata AKPS memandang serius sebarang cubaan mengemukakan dokumen palsu khususnya yang melibatkan pensijilan halal, dan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak berkaitan.
Beliau berkata AKPS akan terus memperkukuh kawalan sempadan serta meningkatkan kerjasama strategik dengan agensi penguat kuasa berkaitan bagi memastikan keselamatan makanan negara, integriti pensijilan halal dan pematuhan terhadap peraturan import sentiasa terpelihara. – Bernama










