PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan tertentu yang cuba menggugat pentadbiran Negeri Sembilan walaupun negeri itu berada dalam keadaan stabil sebagai satu bentuk pengkhianatan terhadap semangat kerjasama politik.
Menurut beliau, kestabilan politik dan ekonomi yang dinikmati negeri berkenaan sepatutnya dipertahankan, bukannya diganggu dengan usaha menjatuhkan kerajaan yang sedang mentadbir.
“Jika tiada unsur khianat, itu lebih baik. Tetapi berdasarkan apa yang berlaku di Negeri Sembilan, ketika keadaan politik dan ekonomi berada dalam keadaan baik, masih ada percubaan untuk menjatuhkan kerajaan.
“Pada pandangan saya, itu mempunyai unsur pengkhianatan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-10 Koperasi Profesional Putrajaya Berhad (KOPROJAYA), hari ini.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum ini berpandangan bahawa isu pengkhianatan tidak sepatutnya timbul apabila sesuatu penggal pentadbiran kerajaan negeri atau Persekutuan berakhir.
Ahmad Zahid dilaporkan menegaskan bahawa Barisan Nasional (BN) memberikan sokongan secara konsisten kepada kerajaan Negeri Sembilan sehingga tamat tempoh pentadbiran semasa.
Bagaimanapun, beliau berkata selepas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), BN sebagai sebuah gabungan politik perlu menentukan hala tuju dan tindakan politiknya sendiri.
Terdahulu, Anwar ketika melancarkan Jentera Pilihan Raya PH Negeri Sembilan dilaporkan menyuarakan ketidaksetujuannya terhadap cadangan mengadakan pilihan raya negeri lebih awal memandangkan pentadbiran kerajaan negeri itu baru memasuki tahun ketiga.
Beliau turut mendedahkan pernah menyampaikan rasa kurang senangnya kepada Aminuddin mengenai perkara tersebut, namun mengakui keadaan menjadi rumit susulan ketidaktentuan pendirian UMNO selepas 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu menarik sokongan terhadap Aminuddin sebagai Menteri Besar sebelum kembali menyokong beliau.
Mengulas perkembangan politik di Johor pula, Anwar berkata keputusan untuk membubarkan DUN Johor terletak di bawah bidang kuasa Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Namun beliau berpandangan bahawa perhatian utama ketika ini seharusnya diberikan kepada usaha memperkukuh ekonomi, merangsang pertumbuhan negara dan menangani pelbagai isu yang sedang dihadapi rakyat.
Menurutnya, perbincangan mengenai pilihan raya semakin rancak kebelakangan ini sedangkan negara masih berdepan cabaran ekonomi yang memerlukan tumpuan semua pihak.
“Kalau tidak ada pengkhianatan, tidak mengapa. Tetapi kita perlu memahami mengapa kerjasama dan muafakat itu penting. Apabila tiba masanya untuk pilihan raya, maka pilihan raya perlu dilaksanakan,” katanya.










