KUALA LUMPUR, — Datin Seri Rosmah Mansor menafikan sekeras-kerasnya semua dakwaan yang terkandung dalam beberapa video tular di media sosial yang didakwanya mengandungi fitnah terhadap beliau dan ahli keluarganya.
Dalam satu kenyataan pada Ahad, Rosmah berkata dakwaan yang mengaitkan beliau dengan pembelian, pembiayaan, pemindahan atau pemilikan hartanah mewah, termasuk sebuah hartanah yang didakwa bernilai AS$13 juta, adalah tidak benar sama sekali.
Beliau turut menafikan pernah membiayai, memudah cara atau mengatur sebarang urusan berkaitan pembelian hartanah bagi pihak menantunya atau mana-mana individu serta entiti lain.
Rosmah turut menyangkal dakwaan yang mengaitkan beliau dengan penggunaan syarikat proksi, struktur kewangan luar pesisir serta hubungan dengan individu atau entiti yang dinamakan dalam video berkenaan.
Menurut beliau, semua tuduhan itu tidak berasas, direka secara berniat jahat dan tidak disokong oleh sebarang bukti yang boleh dipercayai.
Beliau mendakwa penyebaran kandungan berkenaan merupakan satu kempen yang bertujuan mencemarkan nama baik serta menjatuhkan reputasi beliau dan keluarganya.
Sehubungan itu, Rosmah memaklumkan bahawa beliau telah membuat laporan polis pada 14 Jun bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap individu serta pihak yang didakwa bertanggungjawab menghasilkan dan menyebarkan kandungan tersebut.
Beliau berkata akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan dijalankan.
Pada masa sama, Rosmah menggesa pengendali platform media sosial mengambil tindakan segera untuk menurunkan serta menghalang penyebaran lanjut bahan yang didakwanya berunsur fitnah.
Beliau turut memaklumkan bahawa semua hak di sisi undang-undang adalah terpelihara, termasuk untuk memulakan tindakan sivil dan meneruskan prosiding jenayah terhadap mana-mana individu atau pihak yang menerbitkan, menerbitkan semula atau terus menyebarkan dakwaan berkenaan.
Rosmah turut menyeru orang ramai dan pihak media supaya tidak menyebarkan kandungan yang belum disahkan kesahihannya serta memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan mengikut proses perundangan.










