JOHOR BAHRU: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyambut baik penubuhan mana-mana parti politik baharu di negara ini, namun mengingatkan agar kewujudannya tidak menjadi punca perpecahan dalam kalangan masyarakat Melayu.
Presiden UMNO itu berkata, sebarang wadah politik yang diwujudkan seharusnya memainkan peranan ke arah memperkukuhkan perpaduan dan menyatukan pemikiran orang Melayu, khususnya dalam memperjuangkan agenda negara, Islam serta kepentingan bangsa.
Menurut beliau, perbezaan pandangan politik bukanlah halangan untuk mencapai kesepakatan sekiranya semua pihak meletakkan kepentingan negara sebagai keutamaan.
Malah, katanya, kerjasama yang terjalin menerusi pelbagai platform dialog dan kolaborasi nasional sebelum ini membuktikan bahawa persefahaman boleh dibina merentasi perbezaan ideologi.
“Apapun wadah yang digunakan, jika akhirnya ia dapat menyatukan tindakan dan pemikiran demi agenda negara, agenda Islam serta masa depan anak bangsa, maka usaha itu wajar diberi sokongan,” katanya memetik laporan Malaysia Gazette.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Zikir Peringatan Haul Asmaulhusna 2026 di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato’ Onn, hari ini.
Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa perbezaan pendapat dalam politik perlu diterjemahkan kepada usaha memperkukuh agenda nasional tanpa mengetepikan kepentingan kaum dan penganut agama lain di negara ini.
Dalam masa sama, beliau berkata pendekatan Rumah Bangsa yang diperkenalkan UMNO telah menunjukkan hasil positif dalam memperkukuh perpaduan nasional dan mewujudkan keharmonian antara pelbagai lapisan masyarakat.
Kenyataan itu hadir sehari selepas Ketua Gerakan Reset Malaysia, Datuk Seri Hamzah Zainudin, mengumumkan penubuhan Parti Wawasan Negara sebagai platform politik baharu bagi memperluaskan kerjasama dengan pelbagai blok politik di Malaysia.
Menurut Hamzah, parti tersebut diwujudkan sebagai wadah penyatuan yang akan bekerjasama dengan PAS serta parti-parti lain yang mempunyai hala tuju seiring, dengan matlamat membentuk kesefahaman politik yang lebih menyeluruh dan diyakini rakyat.










