Jika ada satu pengajaran besar daripada perkembangan politik Sabah, ia adalah hakikat bahawa sesebuah gabungan tidak semestinya perlu menguasai semua ruang politik untuk membentuk kerajaan yang stabil. Sebaliknya, gabungan yang berjaya ialah yang memahami realiti pengundi dan mampu bekerjasama selepas pilihan raya.
GRS telah membuktikan pendekatan ini di Sabah. Walaupun berlaku pertandingan sesama rakan yang mempunyai hubungan baik malah berseteru dengan BN namun mereka tidak menjadikan pilihan raya sebagai medan permusuhan berpanjangan. Sebaliknya, tumpuan diberikan kepada pembentukan kerajaan yang stabil selepas keputusan diumumkan.
Pengundi Cina mencari “OPTION”
Satu lagi pengajaran besar ialah kekalahan menyeluruh DAP di Sabah. Pengundi Cina di negeri itu memilih alternatif lain iaitu Parti Warisan sekali gus menunjukkan bahawa sebahagian pengundi mahukan lebih banyak pilihan politik dan tidak mahu bergantung kepada satu parti sahaja sebagai wakil mereka. Warisan berjaya memancing cina Sabah dengan janji-janji manis kononnya Sabah punya menteri kewangan Sabah berbangsa cina jika Warisan menang PRN Sabah.
Perkembangan di Sabah turut memberi kesan kepada naratif politik di Sarawak. Di sana, kemenangan gabungan tempatan dan kelemahan DAP sering dijadikan hujah bahawa politik tempatan tanpa dominasi DAP lebih mudah diterima oleh pengundi. Lihat di Sabah kata merekq ‘No DAP Sabah aman’.
Bagaimana dengan semenanjung?
Namun persoalan yang timbul ialah sama ada trend ini akan merebak ke Semenanjung. Adakah pengundi Cina akan terus setia kepada DAP atau mula mencari alternatif baharu? Kemunculan parti-parti baharu seperti Parti Bersama yang dikaitkan dengan Datuk Seri Rafizi Ramli mungkin memberikan satu lagi pilihan kepada segmen pengundi tertentu. Namun, sejauh mana ia mampu mengubah landskap politik masih belum dapat dipastikan. PH DAP dan BN jangan memandang rendah keupayaan parti baharu Rafizi dan Nik Nazmi ini.
Dalam masa yang sama, cabaran PH di Semenanjung mungkin bukan terletak kepada kepimpinan Perdana Menteri semata-mata, tetapi kepada persepsi terhadap parti-parti komponennya. PMX tiada masalah kerana terbukymti ekonomi semakin baik bawah PMX begitu juga kerjasama serantau dan global.
Apa yang membimbangkan DAP masih menjadi sasaran utama serangan politik daripada pihak lawan, khususnya dalam usaha menggambarkan kerjasama PH-DAP-BN sebagai sesuatu yang sukar diterima oleh sebahagian pengundi Melayu.
Sentimen ini terus dimainkan oleh PN bagi melemahkan Kerajaan MADANI. Selagi isu tersebut menjadi tumpuan utama perdebatan politik, PH berdepan cabaran untuk memperluaskan sokongan dalam kalangan pengundi Melayu tanpa kehilangan sokongan tradisinya.
Dalam konteks ini, Pilihan Raya Negeri Johor dan Negeri Sembilan sepatutnya menjadi medan untuk PH dan BN mencari formula kerjasama yang lebih berkesan. Namun, realiti politik tempatan dan kepentingan parti masing-masing menjadikan kerjasama pilihan raya secara formal sesuatu yang sukar dicapai.
Justeru, apakah jalan keluarnya?
Jawapannya mungkin boleh dipelajari daripada pengalaman Sabah. Parti-parti yang mempunyai hubungan baik tidak semestinya perlu mengelakkan pertandingan sesama sendiri. Mereka boleh bertanding secara sihat, mengurangkan serangan peribadi dan kempen yang merosakkan hubungan jangka panjang, sambil mengekalkan fokus terhadap cabaran politik yang lebih besar.
Dalam konteks politik nasional, pendekatan sedemikian mungkin membolehkan PH dan BN mengekalkan identiti masing-masing tanpa merosakkan peluang kerjasama selepas pilihan raya. Pada masa yang sama, tumpuan boleh diberikan kepada persaingan idea dan dasar dengan blok lawan, khususnya PN, berbanding menghabiskan terlalu banyak tenaga menyerang sesama sendiri.
Pengajaran terbesar daripada Sabah ialah politik moden tidak semestinya mengenai siapa yang menang semua kerusi, tetapi siapa yang mampu membina persefahaman selepas rakyat membuat pilihan. Kestabilan politik, penghormatan terhadap kehendak pengundi dan kesediaan untuk bekerjasama mungkin menjadi formula yang lebih berkesan daripada persaingan tanpa penghujung.
Apa pun angka dan unjuran politik yang dikemukakan, persoalan sebenar bukan sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai 20 peratus atau 80 peratus peluang untuk kekal sebagai Perdana Menteri. Medan penentuan yang lebih penting ialah Pilihan Raya Negeri Johor dan Negeri Sembilan yang bakal menjadi cerminan awal sentimen rakyat menjelang PRU16 serta ukuran terhadap prestasi Kerajaan MADANI.
Realitinya, landskap politik Malaysia hari ini tidak lagi membolehkan mana-mana parti atau gabungan menguasai kerajaan dengan majoriti besar secara bersendirian. Formula kemenangan masa depan ialah kerjasama, persefahaman dan keupayaan menawan hati rakyat.
Justeru, PH dan BN tidak seharusnya terlalu terikat dengan kritikan atau serangan politik terhadap Perdana Menteri, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha memperbaiki dasar, memenuhi harapan rakyat dan memperkukuh keyakinan pengundi. Jika sokongan rakyat dapat dipulihkan, soal siapa menjadi Perdana Menteri akan ditentukan oleh mandat yang lahir daripada kepercayaan rakyat sendiri, bukannya oleh ramalan atau persepsi politik semasa.










