SEREMBAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmennya untuk menterjemahkan matlamat kepimpinan yang berteraskan khidmat bakti kepada rakyat, dan bukannya sebuah platform untuk mengumpul kekayaan peribadi.
Beliau berkata, kehadirannya dalam arena pentadbiran negara adalah didorong oleh rasa kasih yang mendalam kepada rakyat serta tanggungjawab memikul amanah demi memacu kemajuan negara.
”Saya nak jadi Perdana Menteri yang bekerja, bukan yang kumpul harta. Saya nak jadi Perdana Menteri kerana saya kasih kepada rakyat dan saya berserah agar rakyat kasih kepada saya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, malam tadi.
Turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun serta pimpinan tertinggi parti komponen PH peringkat negeri.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Pengerusi PH menolak sekeras-kerasnya budaya politik adu domba serta penyebaran sentimen kebencian, sebaliknya menyeru agar kemenangan politik dicapai melalui penyatuan serta rasa kasih sesama warganegara.
Komitmen tinggi beliau untuk bekerja demi negara turut dizahirkan apabila beliau memaklumkan jadual rasminya yang padat, termasuk lawatan kerja antarabangsa ke Rusia dan Turkmenistan yang perlu dihadiri sejurus selepas program berkenaan.
Dalam perkembangan sama, Anwar memberikan sokongan terbuka dan pujian tinggi kepada Aminuddin, atau lebih mesra disapa ‘Tok Min’, untuk terus menerajui kepimpinan kerajaan Negeri Sembilan.
Menurut Anwar, Aminuddin merupakan seorang pemimpin yang sentiasa mengekalkan watak sederhana sejak dahulu hingga kini, di samping memiliki komitmen kerja yang amat tinggi.
”Orang yang sederhana, dulu sederhana, sekarang kekal sederhana. Orang yang kerja kuat, hanya dengan kawan-kawan dia, DAP, Amanah, Keadilan, kerana ada mandat untuk jaga dan yakin untuk bangkit dan bawa perubahan,” jelas beliau.
Anwar melahirkan keyakinan bahawa gandingan mantap Aminuddin bersama rakan-rakan gabungan mampu membawa kestabilan serta melakar pelan masa depan yang lebih jelas bagi Negeri Sembilan.
Sementara itu, menyentuh mengenai dinamika politik tanah air, Anwar menegaskan bahawa kuasa sebenar untuk menyelamatkan dan menentukan hala tuju negara bukan terletak pada golongan elit atau “orang atas-atas”.
Sebaliknya, beliau meletakkan kepercayaan penuh kepada golongan rakyat marhaen yang menjadi tulang belakang kepada kestabilan ekonomi dan sosial negara.
”Jawapannya bukan mereka. Jawapannya bukan orang atas-atas. Jawapannya bukan pada Datuk-Datuk. Jawapannya kepada rakyat, yang pekerja, yang petani, yang guru, yang kerani, yang di bawah ini, yang menjaga warung, jaga anak keluarga mereka,” katanya.
Beliau mengingatkan bahawa sebarang helah politik yang pernah menjatuhkan kerajaan dalam tempoh singkat sebelum ini perlu ditangkis dengan kebangkitan rakyat.
Justeru, Anwar menyeru seluruh lapisan masyarakat di peringkat akar umbi untuk bangkit bersama-sama mempertahankan keselamatan serta kedaulatan negara daripada golongan penyamun, perompak, dan pengkhianat.










