Jangan Khianat Parti Jika Tidak Terpilih – Aminuddin Ingatkan Jentera, Bakal Calon

​SEREMBAN: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengingatkan semua jentera dan bakal calon parti itu agar tidak melakukan sebarang tindakan khianat sekiranya nama mereka tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Negeri Sembilan (PRU) 1 Ogos ini.

​Beliau menegaskan, fokus utama ketika ini adalah untuk memastikan kemenangan PH demi kelangsungan pembangunan ekonomi dan kestabilan politik di premis pentadbiran negeri.

​”Saya tidak ingin mendengar daripada mana-mana pihak untuk kita tidak menyokong calon yang diumumkan
oleh pimpinan kita.

“Sebagai ahli parti dan jentera, apa jua nama yang dipilih oleh pimpinan, harus kita sokong.

​”Kita tidak boleh khianat… saya tidak ingin melihat jentera parti mengkhianati parti kita sendiri semata-mata kerana mementingkan peribadi seseorang,” katanya ketika berucap pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya PH Negeri Sembilan di Karisma Arena, malam ini.

​Majlis pelancaran itu turut dihadiri Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, barisan pimpinan tertinggi parti gabungan melibatkan PKR, DAP dan Amanah, serta ribuan jentera dan penyokong parti.

​Mengulas lanjut, Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, biarpun jadual PRN kali ini tidak bergerak serentak dengan negeri lain seperti Johor, ia tidak seharusnya mematahkan semangat jentera untuk terus bekerja di lapangan.

​Beliau turut menyeru pengundi di Negeri Sembilan untuk keluar beramai-ramai bagi mencapai sasaran 80 peratus peratusan mengundi pada 1 Ogos nanti, sekali gus menterjemahkan “hukuman” menerusi proses demokrasi terhadap pihak yang pernah mengkhianati mandat rakyat sebelum ini.

​”Ketika kita sedang memacu ekonomi, pembangunan dan kebaikan sosial dengan hebat, kita dikhianati. Inilah masanya untuk pengundi mengajar mereka tentang apa itu erti demokrasi dan perpaduan.

​”Kita mahu sebuah kerajaan yang stabil, sebuah kerajaan yang tidak boleh dikotak-katikkan pada bila-bila masa demi perjuangan rakyat,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles