KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor memerlukan peruntukan kira-kira RM600,000 bagi melaksanakan operasi merobohkan sebuah bangunan empat tingkat yang didakwa dibina secara haram oleh komuniti Rohingya di kawasan terpencil Sungai Tekali, Hulu Langat.
Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan berkata, cadangan perobohan bangunan berkenaan telah dibentangkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dan kini menunggu kelulusan peruntukan daripada kerajaan negeri sebelum tindakan lanjut dapat diambil.
Menurut beliau, sebaik sahaja dana diluluskan, operasi perobohan akan dilaksanakan secara bersama oleh beberapa agensi termasuk Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) serta agensi penguat kuasa lain di peringkat daerah.
Mohd Sany memaklumkan sebahagian besar penghuni Rohingya telah meninggalkan kawasan berkenaan selepas isu itu mendapat perhatian umum.
Bagaimanapun, beliau difahamkan masih terdapat tiga keluarga yang kekal menetap di lokasi tersebut.
Dalam pada itu, beliau mengakui isu pelarian Rohingya di Malaysia merupakan perkara yang rumit dan memerlukan penyelesaian jangka panjang melibatkan pelbagai pihak, termasuk kerajaan serta Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Katanya, pendekatan terhadap komuniti Rohingya tidak boleh disamakan dengan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari negara lain kerana faktor keselamatan dan kemanusiaan yang melibatkan mereka.
“Kerajaan boleh menahan mereka di depoh tahanan, namun kos yang perlu ditanggung adalah tinggi. Bagi setiap individu, kerajaan perlu membelanjakan kira-kira RM90 sehari sepanjang tempoh tahanan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa penghantaran pulang pelarian Rohingya ke negara asal bukan pilihan mudah memandangkan mereka berdepan risiko keselamatan yang serius jika kembali ke Myanmar.
Mengulas cadangan sesetengah pihak supaya pelarian Rohingya dihantar ke Pulau Bhasan Char di Bangladesh, Mohd Sany berpandangan langkah itu memerlukan penelitian mendalam serta persetujuan pihak antarabangsa, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan UNHCR.
Menurutnya, aspek kebajikan, keselamatan serta keperluan hidup pelarian perlu diberi perhatian sebelum sebarang keputusan dibuat.
Beliau turut menegaskan bahawa isu berkaitan komuniti Rohingya, termasuk jenayah dan kesihatan awam, perlu ditangani secara bijaksana agar tidak menimbulkan masalah lebih besar kepada negara.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata isu pelarian Rohingya memerlukan kerjasama pelbagai agensi dan negara berkaitan, bukannya bergantung kepada tindakan penguatkuasaan polis semata-mata.
Berdasarkan statistik UNHCR sehingga April 2026, Malaysia merekodkan seramai 219,472 pemegang kad UNHCR, dengan 197,591 daripadanya merupakan warga Myanmar.
Daripada jumlah itu, sekitar 128,200 orang adalah daripada komuniti Rohingya.










