KUALA LUMPUR: Penyanyi dan penulis lagu veteran, Datuk Mohd Nasir Mohamed atau lebih dikenali sebagai M. Nasir, menyaman syarikat milik Grab, MyTeksi Sdn Bhd dengan tuntutan melebihi RM5 juta.
Tuntutan tersebut dibuat susulan dakwaan penggunaan namanya tanpa kebenaran bagi tujuan pemasaran produk minuman.
M. Nasir bersama syarikatnya, Luncai Emas Sdn Bhd, memfailkan saman berkenaan di Mahkamah Tinggi dengan menamakan MyTeksi sebagai defendan tunggal.
Berdasarkan writ saman yang difailkan, ikon muzik tanah air itu mendakwa pihak defendan telah menggunakan nama dan jenama ‘M. Nasir’ bagi jualan serta promosi minuman yang dipasarkan sebagai “Kegemaran M. Nasir” melalui platform mereka tanpa persetujuannya.
Sehubungan itu, plaintif memohon perintah injunksi bagi menghalang MyTeksi, ejen, serta pekerja syarikat itu daripada terus menyalahgunakan atau mengeksploitasi nama M. Nasir demi keuntungan komersial syarikat terbabit.
Mereka turut memohon perintah mahkamah bagi memaksa defendan mendedahkan akaun keuntungan yang diperoleh hasil daripada jualan minuman di bawah nama “Kegemaran M. Nasir” menerusi platform berkenaan dalam tempoh tujuh hari.
Selain itu, plaintif menuntut ganti rugi yang akan ditaksirkan oleh mahkamah atau akaun keuntungan yang didakwa diperoleh daripada hasil jualan tersebut, bersama ganti rugi am, faedah, dan kos.
Plaintif juga menuntut ganti rugi teladan sebanyak RM3 juta dan ganti rugi teruk berjumlah RM2 juta.










