‘Gila Tuduh Anwar Punca Krisis Pembangkang’ – Mohd Kamil

​KUALA LUMPUR: Pembangkang digesa berhenti menuding jari dan menyalahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung pergolakan dalaman yang sedang melanda gabungan politik mereka ketika ini.

​Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Mohd Kamil Munim berkata, krisis yang berlaku dalam Perikatan Nasional (PN) sebenarnya berpunca daripada kelemahan kepimpinan mereka sendiri dan bukannya disebabkan oleh pihak luar yang tidak berkaitan.

​Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri menyifatkan tindakan mengaitkan Anwar dengan masalah dalaman pembangkang, termasuk isu perebutan kerusi seperti yang dibangkitkan oleh Datuk Marzuki Yahya, sebagai sesuatu yang tidak masuk akal dan gila.

​”Orang lain yang rakus mencatur, bermain politik, mewujudkan ketidakstabilan, tikam menikam, Langkah Dubai, Langkah Bangkok, langkah sumbang, akhirnya Anwar juga yang dipersalahkan.

“Marzuki sendiri menyebut tentang pergolakan dalaman pembangkang yang berpunca daripada isu perebutan kerusi, kenapa Anwar pula yang bertanggungjawab? Gila,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, pada Khamis.

​Mohd Kamil menegaskan bahawa PN serta Muafakat Nasional (MN) terbukti sebagai pakatan politik yang gagal kerana tidak mempunyai pelan ekonomi yang jelas mahupun agenda pembangunan yang kukuh untuk negara.

Sebaliknya, beliau mendakwa gabungan berkenaan hanya tahu menunggang seputar isu kaum dan agama yang sempit.

​Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa berbeza dengan pihak lawan, Perdana Menteri kini sedang memberikan tumpuan sepenuhnya kepada agenda pengurusan negara selepas baru sahaja pulang daripada lawatan kerja di Tokyo.

​Tambahnya, Anwar ketika ini sangat sibuk mengurus tadbir negara bagi memastikan ekonomi kekal kukuh dan berdaya tahan, berbanding pihak lain yang hanya sibuk dengan percaturan politik ‘tebuk kapal’ dan ‘tebuk atap’.

BBerkaitan

Latest articles