KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan menyifatkan dakwaan bahawa Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan ‘pengasas tunggal’ gabungan itu sebagai satu “tahyul politik” yang perlu dihentikan.
Bekas pemimpin Bersatu yang dipecat daripada parti itu berkata, naratif yang dimainkan segelintir penyokong Bersatu ketika ini merupakan cubaan untuk memesongkan fakta serta sejarah sebenar penubuhan PN.
Menurutnya, senarai kehadiran mesyuarat rasmi penubuhan PN yang berlangsung pada 29 Julai 2020 di Aras 4, Menara Parlimen kini mula tular di media sosial dan menjadi bukti bahawa gabungan tersebut tidak ditubuhkan oleh seorang individu semata-mata.
Wan Saiful berkata, berdasarkan rekod berkenaan, mesyuarat yang membawa kepada pembentukan PN itu dihadiri 12 tokoh utama yang mewakili Pas, Bersatu, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan MIC.
“Jelas sekali PN bukan lahir daripada tangan seorang individu yang kini cuba didewakan oleh Bersatu,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Mengulas dakwaan bahawa Muhyiddin merupakan pencetus idea asal penubuhan PN, Wan Saiful menegaskan perkara itu juga hanyalah satu mitos yang tidak berasaskan fakta sejarah sebenar.
Beliau mendakwa idea awal serta kronologi terciptanya nama ‘Perikatan Nasional’ tidak melibatkan penglibatan awal bekas Perdana Menteri kelapan itu.
Sebaliknya, katanya, terdapat tiga individu utama yang memainkan peranan penting dalam mengemukakan cadangan penubuhan gabungan tersebut, termasuk seorang daripadanya yang menandatangani surat rasmi kepada Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri ketika itu bagi mengangkat cadangan berkenaan.
Menurut beliau, usaha itu kemudiannya disusuli oleh seorang lagi individu yang bertanggungjawab menulis dokumen cadangan setebal 38 muka surat sebelum dihantar kepada Dr Mahathir.
Wan Saiful turut mendakwa logo rasmi PN yang digunakan sehingga kini merupakan hasil kreativiti individu lain, manakala cadangan logo berasaskan imej pokok yang dikemukakan Muhyiddin sebelum itu ditolak oleh jawatankuasa berkaitan.
Sehubungan itu, beliau menggesa enam individu yang didakwanya memainkan peranan penting di sebalik pembentukan PN tampil memberikan penjelasan terbuka bagi memperbetulkan naratif sejarah gabungan tersebut.
“Sudah-sudahlah usaha menjadikan Muhyiddin sebagai ‘dewata raya’ yang dipuja-puja. Lebih banyak tahyul yang dibawa, lebih malu nanti jadinya,” katanya.










