Isu Rohingya: Jangan Nafikan Masalah Setempat, Jangan Ikut Emosi – Marina

​KUALA LUMPUR: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) digesa untuk tidak menafikan masalah sosial dan komuniti yang dicetuskan oleh pelarian Rohingya sehingga menjejaskan ketenteraman masyarakat tempatan.

​Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Marina Ibrahim berkata, pada masa yang sama, rakyat tempatan juga diingatkan agar tidak bertindak melangkaui batas kemanusiaan dan undang-undang berdasarkan emosi semata-mata dalam mendepani isu berkenaan.

​Beliau menjelaskan, polemik membabitkan pelarian etnik itu memerlukan penyelesaian realistik memandangkan tindakan penguatkuasaan sedia ada berdepan kekangan dokumentasi, termasuk isu kesahihan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

​”Sewaktu berkhidmat sebagai Ahli Majlis dahulu, saya melihat sendiri bagaimana penduduk tempatan terpaksa berpindah dan menjual rumah mereka kerana tidak tahan dengan isu persekitaran dan kepadatan pelarian ini, yang adakalanya mencecah 20 orang dalam sebuah rumah.

​”Malah, terdapat isu sosial yang membimbangkan seperti perkahwinan bawah umur melibatkan remaja seawal 15 tahun serta kes pengabaian kanak-kanak dalam komuniti mereka,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya, hari ini.

​Marina berkongsi pengalamannya yang pernah mengambil inisiatif mengajar kanak-kanak etnik itu bagi menerapkan aspek adab, kebersihan, sivik, dan pendidikan seksualiti bagi mengawal tingkah laku mereka agar tidak mengganggu keharmonian penduduk setempat.

​Mengulas mengenai desakan segelintir pihak untuk melakukan tangkapan besar-besaran, beliau berkata langkah tersebut bukan jalan penyelesaian mutlak kerana ia melibatkan kos pengurusan yang tinggi selain risiko implikasi geopolitik dan tekanan antarabangsa sekiranya dihantar pulang ke negara asal.

​Sehubungan itu, beliau menggariskan beberapa tuntutan kritikal yang perlu diambil oleh kerajaan bagi menangani isu lambakan pelarian tersebut secara tuntas.

​”Mendesak kerajaan menyediakan dan memperincikan data sebenar bilangan pelarian Rohingya mengikut pecahan daerah dan negeri bagi memudahkan kawalan dan pemantauan.

​”Menjalankan siasatan khas berhubung dakwaan ketirisan di pintu masuk negara, isu kelonggaran kawalan sempadan, serta kewujudan sindiket penjualan kad UNHCR.

​”Mendesak UNHCR mengadakan perbincangan telus mengenai garis masa penempatan semula pelarian ke negara ketiga serta pelan tindakan agensi itu dalam mengawal lambakan pelarian di Malaysia, memandangkan kerajaan tidak menerima sebarang peruntukan khusus bagi menguruskan mereka,” katanya.

​Marina turut menegaskan bahawa kebimbangan yang disuarakan oleh rakyat tempatan ketika ini adalah berasas kerana ia melibatkan kedaulatan negara, dan perkara tersebut memerlukan ketegasan kerajaan untuk menuntut akauntabiliti daripada pihak UNHCR.

BBerkaitan

Latest articles