KUALA LUMPUR — Barisan Nasional (BN) Johor berhak menentukan hala tuju dan strategi politiknya sendiri, termasuk keputusan untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang, kata Pengerusi Sekretariat Biro Tugas-Tugas Khas Wanita UMNO Malaysia, Datuk Waheedah Faruz Telahah.
Beliau berkata pendirian yang dinyatakan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berhubung keputusan BN Johor untuk bergerak secara bersendirian perlu dilihat sebagai pendirian politik dan bukannya kenyataan berunsur perkauman.
Menurutnya, keputusan itu mencerminkan hasrat BN Johor untuk mendapatkan mandat rakyat berdasarkan kekuatan serta prinsip perjuangan parti, selaras dengan pandangan akar umbi.
“Onn Hafiz merupakan antara pemimpin UMNO yang sederhana, progresif dan dekat dengan semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum. Justeru, dakwaan bahawa kenyataan beliau bersifat perkauman adalah tidak berasas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Waheedah berkata pendirian untuk tidak menjalinkan kerjasama dengan sesebuah parti politik tidak boleh disamakan dengan penolakan terhadap mana-mana kaum atau agama.
Beliau turut menegaskan bahawa DAP merupakan sebuah parti politik pelbagai kaum yang terbuka kepada semua rakyat Malaysia, justeru penolakan terhadap kerjasama politik dengan parti itu tidak boleh ditafsirkan sebagai penolakan terhadap masyarakat Cina.
Katanya, dalam sistem demokrasi, setiap parti mempunyai hak untuk menentukan rakan kerjasama, strategi dan hala tuju politik berdasarkan prinsip serta mandat yang ingin diperjuangkan.
Mengulas kedudukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, Waheedah berkata situasi itu berbeza daripada landskap politik Johor kerana kerajaan tersebut diwujudkan susulan Parlimen tergantung selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 atas titah dan nasihat Yang di-Pertuan Agong ketika itu bagi menjamin kestabilan negara.
Beliau berkata UMNO dan BN kekal komited menyokong Kerajaan Perpaduan sehingga Pilihan Raya Umum akan datang.
Sehubungan itu, Waheedah menggesa semua pihak supaya tidak memanipulasi kenyataan Onn Hafiz bagi mewujudkan persepsi negatif terhadap pendirian politik BN Johor.
Katanya, BN Johor berhak menawarkan pilihan kepada rakyat berdasarkan identiti, prinsip dan kekuatan sendiri, selain meneruskan agenda “Tradisi Membela Rakyat” sekiranya terus diberi mandat mentadbir negeri.










