ISKANDAR PUTERI: Barisan Nasional (BN) bertekad untuk menjadikan semula Johor sebagai kubu kuat atau ‘fixed deposit’ utama buat gabungan itu dalam landskap politik negara menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 ini.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, matlamat utama jentera ketika ini adalah untuk merampas semula kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang pernah terlepas ke tangan pihak lawan sebelum ini.
Tegas beliau, bumi Johor mempunyai identiti politiknya yang tersendiri dan tidak selayaknya dijadikan sebagai tempat untuk pihak luar meraih kepentingan politik peribadi.
”Johor bukan tempat mencuba nasib. Johor bukan tempat menumpang pengaruh dan Johor bukan medan eksperimen.
”Kita jadikan semula negeri Johor sebagai fixed deposit kepada Barisan Nasional. Kerusi yang terlepas sebelum ini, azam kita mesti kembalikan semula ke tampuk BN,” katanya dengan tegas.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional Negeri Johor di Stadium Tertutup Kompleks EduCity, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid turut menempelak sebuah ‘parti jalanan’ dan parti serpihan yang sebelum ini pernah mendabik dada mahu menumbangkan UMNO dan BN di Johor, namun kini mereka pula yang berdepan dengan masalah dalaman.
”Pernah datang dengan janji besar dan cerita besar, mereka kata UMNO akan mati di Johor. Tetapi lihatlah hari ini. Yang mahu menggantikan UMNO, kini terpaksa tercari-cari harapan. Yang mahu menjadikan Johor tapak kuasa, kini sibuk mempertahankan sisa pengaruh.
”Mereka yang dahulu mendabik dada mahu menumbangkan kita, hari ini berdepan dengan keretakan rumah tangga mereka sendiri,” bidas beliau.
Menurutnya, kekuatan sebenar BN tidak bersandar kepada kelemahan pihak lawan, sebaliknya ia berakar umbi daripada gerak kerja jentera yang sentiasa mendengar keluhan dan berkhidmat untuk rakyat.










