Sekretariat Persoal Tindakan Rais Yatim Umum Pengganti, Tegaskan Tuanku Muhriz Masih YDPB Sah

SEREMBAN: Sekretariat Taat Setia Sokongan Yang Dipertuan Besar (YDPB) Negeri Sembilan menegaskan bahawa Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir kekal sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang sah mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Pengerusinya, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, kedudukan Tuanku Muhriz tidak pernah berubah dan turut diiktiraf Kerajaan Persekutuan sebagaimana ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, sebarang dakwaan atau naratif yang mempertikaikan keabsahan takhta baginda adalah bercanggah dengan fakta perundangan serta Perlembagaan negeri.

Dalam masa sama, sekretariat itu turut mempersoalkan tindakan bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim yang didakwa mengumumkan pelantikan seorang Yang Dipertuan Besar baharu.

Katanya, pengumuman tersebut menimbulkan persoalan besar mengenai kapasiti dan kuasa yang digunakan bagi membuat kenyataan sedemikian, memandangkan urusan pelantikan Yang Dipertuan Besar berada di bawah bidang kuasa Undang Empat yang sah serta tertakluk kepada peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

“Keabsahan Yang Dipertuan Besar ditentukan melalui proses yang jelas melibatkan Dato’ Undang yang sah serta peranan kerajaan negeri. Sebarang pengumuman di luar kerangka tersebut adalah tidak bertanggungjawab dan berpotensi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sekretariat berpendapat tindakan mengumumkan pelantikan Tunku Nadzaruddin Ibni Almarhum Tuanku Ja’afar sebagai Yang Dipertuan Besar baharu tanpa melalui proses yang sah boleh membawa kepada salah tafsiran serius terhadap institusi diraja negeri.

Sehubungan itu, orang ramai diseru supaya bertenang dan tidak terpengaruh dengan sebarang tindakan atau kenyataan yang boleh menggugat sistem Adat Perpatih yang menjadi asas pemerintahan serta identiti Negeri Sembilan sejak sekian lama.

Menurut kenyataan itu lagi, cubaan sesetengah pihak untuk memainkan isu berkenaan bagi tujuan politik atau mencetuskan perpecahan hanya akan menambah keresahan rakyat serta mencemarkan institusi beraja yang selama ini dihormati.

Sekretariat turut mengingatkan bahawa kesetiaan kepada institusi diraja dan pemeliharaan adat warisan negeri perlu terus dipertahankan demi memastikan kestabilan serta keharmonian Negeri Sembilan.

Pada masa sama, mereka menegaskan akan memantau sebarang kenyataan atau tindakan yang dianggap menghina institusi diraja, menderhaka kepada Tuanku Muhriz atau mencetuskan keresahan dalam kalangan rakyat sebelum perkara itu dirujuk kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

BBerkaitan

Latest articles