Fahmi Nafi Tindakan Mahkamah, Penguat Kuasa Dijadikan Senjata Ugut Pemimpin UMNO

KUALA LUMPUR: Dakwaan kononnya tindakan mahkamah dan agensi penguat kuasa digunakan untuk menekan atau mengugut pemimpin UMNO disifatkan tidak benar oleh Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pentadbiran kerajaan sentiasa berpegang kepada prinsip tidak mencampuri urusan agensi penguatkuasaan, termasuk dalam keputusan memulakan atau menghentikan siasatan.

Menurutnya, isu membabitkan Lembaga Tabung Haji (TH) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) perlu dilihat dalam konteks titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang mahu siasatan dijalankan secara menyeluruh.

“Itu tidak benar (bahawa kes mahkamah digunakan untuk mengugut pemimpin UMNO).

“Perkara itu bukan dinyatakan Perdana Menteri atau parti, tetapi titah Seri Paduka Baginda… kerajaan mesti menjunjung titah Agong,” katanya selepas menyertai larian OXYENERGY x Media Prima Merdeka Run 2026, hari ini.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari; Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa (NCA) Media Prima Berhad merangkap Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), Datuk Farrah Naz Abd Karim; Timbalan Pengarang Kumpulan NST, Sharanjit Singh serta Pengarang Kumpulan NCA Rangkaian Televisyen, Datuk Azhari Muhidin.

Mengulas keutamaan kerajaan, Fahmi berkata, tumpuan kini diberikan kepada usaha memperkukuh tadbir urus, pengurusan serta reformasi institusi, khususnya dalam tempoh berbaki penggal pentadbiran semasa.

Beliau pada masa sama yakin Kerajaan Perpaduan mampu mengekalkan kestabilan dan terus melaksanakan tanggungjawabnya sehingga akhir penggal, meskipun berdepan isu yang berpotensi menguji kerjasama antara parti.

“Saya percaya kami boleh melakukan yang terbaik sehingga ke akhir penggal,” katanya.

Pada 8 Ogos lalu, Sultan Ibrahim bertitah bahawa tiada pihak yang didapati bersalah dalam isu berkaitan TH dan FELDA boleh terlepas daripada tindakan.

Baginda turut menegaskan bahawa setiap siasatan terhadap isu berkenaan perlu dilaksanakan secara menyeluruh bagi memastikan tiada perkara terlepas daripada penelitian pihak berkuasa.

BBerkaitan

Latest articles