NEW DELHI: Usaha menghentikan konflik Asia Barat tidak boleh dipisahkan daripada pengiktirafan terhadap tindakan awal Amerika Syarikat (AS) dan Israel yang mencetuskan ketegangan dengan Iran, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, kecaman terhadap serangan Iran tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengabaikan punca sebenar tercetusnya konflik berkenaan.
Menurutnya, sebarang rundingan damai perlu bermula dengan pengakuan terhadap “pencerobohan awal” oleh Washington dan Tel Aviv, selain komitmen semua pihak untuk menghentikan keganasan.
“Konflik terkini yang dikatakan membabitkan Iran berpunca daripada pencerobohan awal AS, dan sudah tentu pada mulanya dilakukan Israel.
“Banyak negara enggan menerima dan mengakui fakta sebenar. Fakta itu ialah hentikan pencerobohan berterusan,” katanya dalam wawancara bersama NDTV di luar Sidang Kemuncak BRICS di sini.
Anwar berkata demikian ketika menggesa agar pertempuran dihentikan serta-merta dan penyelesaian secara aman diutamakan bagi menangani krisis yang semakin meruncing di Asia Barat.
Ditanya sama ada Iran dan AS mengambil pendirian ekstrem yang boleh menjejaskan usaha damai, beliau menegaskan bahawa semua bentuk keganasan mesti dihentikan tanpa mengira pihak yang melakukannya.
“Hentikan keganasan. Maksud saya, keganasan yang dilakukan AS, Israel atau Iran. Saya sokong langkah itu,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar turut mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin dunia sempena kehadirannya di Sidang Kemuncak BRICS, dengan isu geopolitik dan krisis kemanusiaan menjadi antara perkara yang dibincangkan.
Pada majlis makan malam malam tadi, beliau bertemu Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi, Presiden Indonesia Prabowo Subianto, Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev dan Timbalan Perdana Menteri Uzbekistan Jamshid Kuchkarov.
Perdana Menteri turut mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres, serta Ketua Pengarah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Ngozi Okonjo-Iweala.
Anwar berkata, perbincangan bersama pemimpin berkenaan turut menyentuh perkembangan geopolitik dunia, khususnya konflik berpanjangan dan krisis kemanusiaan di Gaza serta ketegangan di Asia Barat.
“Bicara kami menyentuh perkembangan geopolitik dunia, khususnya konflik dan krisis kemanusiaan yang terus berlarutan di Gaza serta ketegangan di Asia Barat,” katanya menurut Bernama.
Beliau menegaskan, keadaan semasa memerlukan kesatuan masyarakat antarabangsa dan kepemimpinan dunia bagi menghentikan pertumpahan darah, selain memastikan penyelesaian yang adil serta berkekalan dapat dicapai.










