KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan satu mesyuarat khas pada 12 Jun ini bagi membincangkan urusan pelaksanaan Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Johor yang ke-16.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata mesyuarat tersebut diadakan susulan penerimaan notis rasmi berhubung pembubaran Dewan Negeri Johor ke-15 daripada Speaker Dewan Negeri Johor, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi.
Menurut beliau, pembubaran berkenaan berkuat kuasa pada 2 Jun 2026 sebagaimana yang termaktub di bawah Fasal 23 (2) Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.
”Berdasarkan Fasal 23 (4) Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 menghendaki suatu pilihan raya umum diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran Dewan Negeri tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairul Shahril berkata, mesyuarat khas pada Jumaat depan itu akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun.
Beliau menjelaskan, mesyuarat tersebut akan membincangkan tarikh-tarikh penting bagi pelaksanaan pilihan raya berkenaan termasuk tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, serta Daftar Pemilih yang akan digunakan.
“Satu sidang media juga akan diadakan sejurus selepas mesyuarat khas tersebut selesai bagi mengumumkan perincian lanjut,” katanya.










