KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat dakwaan bahawa seorang wanita warga emas yang ditahan di Nigeria kerana disyaki cuba menyeludup 31 kilogram (kg) dadah sebenarnya menjadi mangsa kepada perancangan anak perempuannya sendiri.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya masih meneliti semua aspek kes berkenaan termasuk dakwaan wanita berusia 63 tahun itu diperdaya atau diperangkap sebelum ditahan pihak berkuasa Nigeria.
Menurut beliau, usaha mengesan anak wanita terbabit juga sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan.
“Dakwaan bahawa wanita itu diperangkap oleh anaknya masih dalam siasatan, manakala usaha mengesan individu berkenaan juga sedang diteruskan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Hussein berkata, pihaknya telah menerima maklumat rasmi daripada Agensi Penguatkuasaan Undang-Undang Dadah Kebangsaan Nigeria (NDLEA) mengenai penahanan wanita tersebut.
Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan wanita berkenaan ditahan pada 17 Mei lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Murtala Muhammed, Lagos selepas pihak berkuasa menemui kira-kira 31kg dadah jenis Canadian Loud yang dipercayai cuba dibawa masuk ke negara itu.
Siasatan awal mendapati wanita yang berstatus warga Malaysia naturalisasi itu tiba di Nigeria melalui penerbangan dari Thailand dengan transit di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Dia dipercayai berlepas dari Malaysia ke Thailand sebelum meneruskan perjalanan ke Nigeria sambil membawa dua bagasi besar yang mengandungi bahan terlarang berkenaan.
Ketika disoal siasat oleh pihak berkuasa Nigeria, wanita itu mendakwa keseluruhan perjalanan tersebut dibiayai oleh anak perempuannya.
Dia turut memaklumkan berada di Thailand selama kira-kira dua minggu sebelum menerima bungkusan yang diarahkan untuk dihantar ke Nigeria. – BERNAMA










