Anwar Sokong PRN N. Sembilan, Gesa Kemelut Takhta Ditamatkan Melalui Mandat Rakyat

PUCHONG: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan keputusan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan sebagai langkah yang tepat bagi mengakhiri ketidaktentuan politik dan polemik berhubung krisis takhta yang sedang melanda negeri itu.

Perdana Menteri berkata, pilihan raya negeri merupakan jalan terbaik untuk meredakan keadaan yang semakin rumit, sekali gus mengelakkan polemik berpanjangan yang boleh menjejaskan pentadbiran serta mencalar kedudukan Institusi Raja.

Menurut beliau, Kerajaan Persekutuan memandang serius perkembangan yang melibatkan aspek adat dan perlembagaan Negeri Sembilan kerana ia mempunyai implikasi besar terhadap kestabilan negeri dan negara.

“Institusi Raja mempunyai peraturan, adat dan martabat yang wajib dipelihara. Jika perkara ini terus dipertikaikan tanpa mengikut saluran yang betul, ia boleh memberi kesan tidak baik kepada negara.

“Saya tidak menafikan hak mana-mana pihak untuk menggunakan saluran undang-undang dan perlembagaan negeri, namun sebarang tindakan yang melibatkan kedudukan Raja perlu disokong hujah yang sangat kukuh kerana implikasinya amat besar kepada keamanan serta kestabilan,” katanya selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Meranti, Puchong, hari ini.

Anwar berkata, kerajaan telah menyampaikan pandangan kepada pihak-pihak berkaitan supaya isu tersebut diselesaikan mengikut lunas undang-undang serta perlembagaan tanpa menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

Beliau turut meluahkan kebimbangan terhadap beberapa perkembangan mutakhir yang menurutnya berisiko menjejaskan imej dan kemuliaan Institusi Raja jika tidak ditangani dengan cermat.

Mengulas pemasyhuran Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dalam satu majlis di Melaka hari ini, Anwar menegaskan Kerajaan Persekutuan masih mengiktiraf Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai pemerintah yang sah berdasarkan kedudukan semasa mengikut susur galur dan peruntukan berkaitan.

“Pada ketika ini, kita tetap menjalankan urusan rasmi dan mengiktiraf Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Jika ada pandangan atau tuntutan lain, ia perlu dibuat melalui saluran yang sah mengikut perlembagaan,” katanya.

Beliau turut menyatakan sokongan terhadap pendirian Menteri Besar Negeri Sembilan yang mencadangkan agar PRN diadakan bagi menamatkan kekeliruan dan ketidaktentuan yang sedang berlaku.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata Pakatan Harapan (PH) kini memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi PRN Johor dan Negeri Sembilan dengan menggerakkan seluruh jentera parti.

Katanya, walaupun pembubaran DUN Johor berlaku lebih awal daripada jangkaan, PH tetap akan berusaha memastikan kesiapsiagaan jentera berada pada tahap terbaik untuk menghadapi pilihan raya.

BBerkaitan

Latest articles