Tuanku Muhriz Kekal Diiktiraf Sebagai Yang di-Pertuan Besar N. Sembilan

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan tidak berganjak daripada pendiriannya untuk terus mengiktiraf Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, walaupun muncul pengisytiharan baharu yang menamakan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai pemerintah negeri itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengiktirafan kerajaan dibuat berdasarkan proses perundangan dan kerangka Perlembagaan yang sah, justeru sebarang pertikaian mengenai takhta perlu diselesaikan menerusi saluran yang ditetapkan.

Menurut beliau, isu melibatkan institusi diraja tidak boleh dipandang ringan kerana sebarang tindakan untuk menyingkirkan seorang Raja mempunyai kesan besar terhadap kestabilan negara dan keharmonian rakyat.

“Kita perlu menghormati aturan yang telah ditetapkan dalam institusi Raja-Raja Melayu. Sebarang cabaran terhadap sistem ini perlu ditangani secara berhati-hati dan mengikut undang-undang supaya tidak menimbulkan kekeliruan atau kegusaran dalam masyarakat,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Meranti, Puchong, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan tidak menghalang mana-mana pihak daripada menggunakan saluran undang-undang untuk mempertahankan pendirian masing-masing, namun keputusan berkaitan pertikaian tersebut perlu dibuat berdasarkan proses yang sah dan bukannya melalui tindakan yang boleh mengundang polemik.

Kenyataan itu dibuat susulan pemasyhuran Tunku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 dalam satu majlis di Melaka hari ini, sekali gus menambah bahang krisis perebutan takhta yang tercetus sejak April lalu.

Sebelum ini, empat Undang mengumumkan pemecatan Tuanku Muhriz dan menamakan Tunku Nadzaruddin sebagai pengganti, namun tindakan itu ditolak kerajaan negeri yang berpendirian proses berkenaan tidak mempunyai asas perundangan yang sah.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan Kerajaan Persekutuan akan terus mempertahankan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu yang menjadi tunjang sistem pemerintahan negara.

Beliau turut menyokong langkah kerajaan Negeri Sembilan untuk mendapatkan mandat baharu rakyat melalui pilihan raya negeri, sambil menyifatkan pendekatan itu sebagai jalan terbaik bagi meredakan ketidaktentuan politik yang sedang berlaku.

BBerkaitan

Latest articles