Tunku Nadzaruddin Ditabal Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-12

SEREMBAN: Tunku Nadzaruddin Tuanku Jaafar hari ini ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 menerusi pengisytiharan rasmi oleh Undang Yang Empat dalam satu majlis yang diadakan di sebuah resort.

Pengisytiharan tersebut dibacakan oleh Undang Luak Jelebu, Maarof Mat Rashad, yang mewakili Undang Yang Empat, dengan menyatakan pelantikan itu dibuat mengikut peruntukan Perkara 11 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dan berkuat kuasa serta-merta.

Dalam titah balasnya, Tunku Nadzaruddin menzahirkan penghargaan kepada Undang Yang Empat serta Tunku Besar Tampin dan Datuk Syahbandar Sungai Ujong atas pemilihan baginda sebagai pemerintah baharu negeri itu.

Majlis kemudian diteruskan dengan bacaan doa dan laungan “Daulat Tuanku” oleh para hadirin.

Turut kelihatan hadir ialah tokoh politik veteran, Rais Yatim, yang juga dikenali sebagai pengkaji Adat Perpatih.

Pertabalan itu dijangka menambah ketegangan dalam pertikaian takhta Negeri Sembilan yang masih berlarutan melibatkan penyandang sedia ada, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Pada April lalu, empat Undang mengumumkan pemecatan Tuanku Muhriz dan mengisytiharkan Tunku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar baharu, namun tindakan itu tidak diiktiraf kerajaan negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, sebelum ini menegaskan pengisytiharan berkenaan tidak sah kerana melibatkan individu yang dipertikaikan kedudukannya sebagai Undang.

Terdahulu, suasana tegang turut berlaku di Balai Kediaman Rasmi Tunku Besar Tampin apabila dua Undang dilaporkan dihalang polis daripada memasuki premis berkenaan untuk menghadiri sidang khas berkaitan penyelesaian kemelut diraja negeri itu.

Selepas campur tangan Tunku Besar Tampin, mereka akhirnya dibenarkan masuk, namun pertemuan tersebut terpaksa dipendekkan berikutan ketiadaan Tunku Nadzaruddin.

Susulan itu, majlis dipindahkan ke lokasi lain sebelum pengisytiharan pertabalan berlangsung.

BBerkaitan

Latest articles