PAS Tentukan Hala Tuju PN Isnin Ini

MARANG: PAS dijangka membuat keputusan penting berhubung hubungan politiknya dengan Bersatu dalam Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat yang akan berlangsung Isnin depan.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perkara itu akan dibincangkan secara menyeluruh susulan kebimbangan yang dibangkitkan Majlis Syura Ulamak (MSU) berhubung kemelut dalaman Bersatu yang dilihat boleh menjejaskan kestabilan serta keyakinan rakyat terhadap Perikatan Nasional (PN).

Menurut beliau, MSU telah bermesyuarat dan membuat pendirian berhubung isu berkenaan, namun keputusan akhir diserahkan kepada kepimpinan PAS Pusat untuk diputuskan serta diumumkan pada masa yang sesuai.

“MSU sudah bermuzakarah dan membuat keputusan. Kini terpulang kepada PAS Pusat untuk menentukan langkah seterusnya. Insya-Allah, semuanya akan dibincangkan pada Isnin ini,” katanya selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Abdul Hadi memaklumkan mesyuarat tersebut turut akan menerima taklimat daripada PAS Johor mengenai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Katanya, laporan itu penting bagi membantu kepimpinan pusat menilai kerusi yang berpotensi ditandingi parti berdasarkan kekuatan jentera, peluang kemenangan serta kesesuaian calon.

“Pada asasnya kita akan bertanding, namun jumlah dan lokasi kerusi masih dalam penelitian. PAS juga mempunyai ramai tokoh yang berkelayakan untuk diketengahkan sebagai calon,” ujarnya.

Mengulas mengenai PRN Negeri Sembilan yang bakal berlangsung susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), beliau menyatakan keyakinan PAS mampu meningkatkan jumlah kerusi dimenangi berbanding pilihan raya lalu.

Menurutnya, beberapa kawasan yang tewas dengan majoriti tipis sebelum ini memberi ruang kepada parti itu untuk meraih keputusan lebih baik kali ini.

Sementara itu, Abdul Hadi menegaskan PAS tetap berpegang kepada agenda penyatuan orang Melayu dan Islam, termasuk melalui gagasan Muafakat Nasional (MN) yang kembali menjadi perbualan dalam kalangan pemerhati politik.

Bagaimanapun, beliau menegaskan sebarang kerjasama politik perlu mengambil kira realiti masyarakat majmuk negara dengan melibatkan golongan bukan Islam serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berpengaruh demi membentuk gabungan lebih inklusif.

BBerkaitan

Latest articles