Semua Anggota MALBATT 850-13 Selamat Susulan Insiden Bedilan Mortar Di Selatan Lubnan

KUALA LUMPUR,— Semua anggota Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 yang sedang melaksanakan misi pengaman di Selatan Lubnan dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan tidak terjejas susulan insiden bedilan mortar yang berlaku di kawasan UNP 7-2 (SPANBATT) di Sektor Timur Lubnan pada 3 Jun lalu.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan insiden yang berlaku pada jam 11.20 malam waktu tempatan itu telah mengakibatkan tiga anggota pasukan pengaman Spanish Battalion (SPANBATT) cedera, dengan seorang daripadanya disahkan meninggal dunia pada pagi 4 Jun.

ATM turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga anggota SPANBATT yang terkorban serta mendoakan agar anggota yang cedera diberikan kesembuhan segera.

Menurut ATM, sebarang bentuk serangan termasuk tembakan tidak langsung (indirect fire) terhadap pasukan pengaman merupakan satu pencabulan serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta Resolusi 1701 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).

Sehubungan itu, ATM telah meningkatkan profil keselamatan dan perlindungan pangkalan bagi kontinjen MALBATT 850-13 ke tahap amaran tertinggi atau Status Level Red sebagai langkah tindak balas taktikal terhadap perkembangan semasa.

Selain itu, seluruh pergerakan rondaan telah digantung sementara dan pasukan kini beroperasi di bawah Prosedur Operasi Standard (SOP) serta Rules of Engagement (ROE) pertahanan yang paling ketat sebagaimana digariskan oleh Markas Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).

ATM memaklumkan bahawa situasi operasi semasa terus dipantau secara berterusan oleh Markas Angkatan Bersama (MK AB) bagi memastikan tahap keselamatan tertinggi dapat dikekalkan terhadap anggota MALBATT yang sedang melaksanakan mandat pengaman di zon konflik tersebut.

BBerkaitan

Latest articles