KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Datuk M K Ibrahim Abd Rahman, mengesahkan beliau telah menandatangani notis pembubaran DUN pagi ini untuk diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Pengesahan tersebut dimaklumkan oleh beliau sendiri menerusi satu hantaran di akaun media sosial rasmi miliknya, sekali gus menandakan proses rasmi bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) dijalankan tetap berjalan.
”Pagi ini 5.6.2026 saya telah menandatangani notis pembubaran DUN Negeri Sembilan untuk diserahkan kepada SPR,” katanya.
Langkah berkenaan dibuat di tengah-tengah kontroversi perlembagaan apabila institusi tradisional tertinggi negeri, merangkumi Undang Yang Empat Negeri Sembilan dan Tengku Besar Tampin, bertindak memfailkan bantahan rasmi dan keras terhadap pengumuman pembubaran terbabit.
Bantahan undang-undang bertanda ‘SEGERA’ itu dikemukakan melalui firma guaman Tetuan Deidra Sharina & Co. Advocates & Solicitors yang dialamatkan secara langsung kepada Speaker DUN hari ini.
Menerusi dokumen bantahan terbabit, pihak firma guaman menegaskan bahawa anak-anak guam mereka bertindak sepenuhnya atas kapasiti sebagai Pemerintah Tradisional Negeri Sembilan dan bukannya sebagai wakil rakyat.
Pihak peguam menjelaskan, tindakan itu diambil susulan pengumuman pembubaran DUN oleh Menteri Besar Negeri Sembilan pada 4 Jun 2026, kira-kira jam 11 malam, yang didakwa dibuat tanpa sebarang rundingan mahupun persetujuan yang dimohon daripada anak-anak guam mereka.
Firma guaman terbabit menyifatkan tindakan mengetepikan institusi pemerintah tradisional itu sebagai suatu pelanggaran yang nyata terhadap peruntukan-peruntukan utama di bawah Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan, khususnya Fasal 56(2), Fasal 38(4), serta Fasal 28(1) dan (2).
”Oleh itu, sekiranya pembubaran DUN diteruskan, ia akan menimbulkan pelbagai implikasi undang-undang termasuklah melibatkan isu keabsahan keputusan pilihan raya dan sebagainya,” menurut kandungan surat yang ditandatangani oleh wakil Tetuan Deidra Sharina & Co. itu.
Rentetan perkembangan terbaharu ini, tumpuan kini terarah kepada pihak SPR berhubung tindakan lanjut yang akan diambil bagi menetapkan tarikh PRN, selain meneliti implikasi perundangan yang digariskan oleh pihak istana tradisi.
Surat bantahan berkenaan sebelum ini turut diserahkan secara salinan kepada Pejabat Pilihan Raya Negeri Sembilan, Ketua Setiausaha Negara, Menteri Besar Negeri Sembilan, Peguam Negara, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Penasihat Undang-Undang Negeri, dan Ketua Polis Negeri Sembilan.










