UMNO: Penyertaan Semula Alwiyah Bukti Keyakinan Terhadap ‘Rumah Bangsa’

KUALA LUMPUR: Keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, Alwiyah Talib, untuk kembali menyertai UMNO selepas mengumumkan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerima sambutan positif daripada kepimpinan Wanita UMNO.

Pengerusi Sekretariat Biro Tugas-Tugas Khas Wanita UMNO Malaysia, Datuk Waheedah Faruz Telahah, berkata kepulangan semula Alwiyah membuktikan UMNO masih menjadi platform perjuangan yang diyakini dalam memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera berteraskan agama, bangsa serta tanah air.

Menurut beliau, keputusan tersebut hadir ketika landskap politik negara berdepan pelbagai polemik dan persaingan naratif, sekali gus memperlihatkan UMNO terus dilihat sebagai parti yang memiliki pengalaman, rekod pentadbiran serta kemampuan untuk menjamin kestabilan politik negara.

“Keputusan yang dibuat oleh YB Alwiyah diyakini berpaksikan kepentingan rakyat dan pembangunan kawasan DUN Endau, selain mengutamakan perpaduan masyarakat serta kesinambungan pembangunan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Waheedah berkata, kemasukan semula Alwiyah turut mengukuhkan gagasan “UMNO: Rumah Bangsa” yang diperkenalkan Presiden UMNO, apabila konsep tersebut semakin mendapat penerimaan dalam kalangan pemimpin dan masyarakat yang mahu kembali bersama parti itu.

Beliau menegaskan bahawa gagasan berkenaan bukan sekadar slogan politik, sebaliknya menjadi wadah penyatuan bagi mereka yang ingin memperjuangkan agenda rakyat secara lebih matang, sederhana dan berorientasikan kestabilan.

Dalam masa sama, beliau percaya lebih ramai pemimpin serta bekas ahli UMNO yang kini berada di luar parti akan mempertimbangkan langkah sama untuk kembali bersama perjuangan UMNO.

“Pintu UMNO sentiasa terbuka kepada sesiapa yang ikhlas mahu menyumbang demi agama, bangsa dan negara,” katanya.

Waheedah turut menegaskan bahawa perjuangan mempertahankan Islam, memperkasa bangsa Melayu serta mendaulatkan institusi Raja-Raja Melayu akan terus menjadi teras perjuangan parti itu.

Semalam, Alwiyah mengumumkan keluar daripada Bersatu sebelum mengambil keputusan untuk kembali menyertai UMNO, perkembangan yang dilihat mampu memberi impak kepada landskap politik Johor menjelang pilihan raya akan datang.

BBerkaitan

Latest articles