PAU 2026: Veteran Garis Mahu UMNO Terajui Jajaran Politik Melayu-Islam

​
​KUALA LUMPUR: Veteran UMNO menegaskan parti itu perlu kembali mengambil peranan utama dalam memimpin dan menerajui usaha penjajaran semula kekuatan politik Melayu dan Islam di negara ini.

​Wakil Veteran UMNO, Datuk Adam Abdul Hamid berkata, perpecahan politik berpanjangan dalam kalangan masyarakat Melayu hanya melepaskan kuasa tawar-menawar serta membuka ruang kepada pihak lain menentukan arah tuju dan agenda negara.

​Menurut beliau, usaha penjajaran ini amat kritikal bagi mengembalikan kestabilan serta membina semula kekuatan politik yang berasaskan Perlembagaan Persekutuan.

​”UMNO perlu memimpin usaha menjajarkan semula kekuatan politik Melayu dan Islam berasaskan Perlembagaan, kepentingan rakyat serta kestabilan negara.

​”Penjajaran ini bukan politik kebencian terhadap kaum lain, tetapi strategi menyatukan kekuatan tanpa mengorbankan keadilan dan kemakmuran masyarakat majmuk. UMNO mesti jadi peneraju, bukan sekadar pelengkap dalam pembentukan kuasa politik,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

​Mengulas lanjut mengenai agenda penyatuan tersebut, Adam menjelaskan bahawa kerjasama atau kesefahaman politik mesti berasaskan keikhlasan, rasa hormat dan saling menguntungkan demi kepentingan bersama.

​Beliau memberi amaran bahawa kerjasama yang tidak jujur hanya akan melemahkan identiti serta kedudukan UMNO dalam jangka panjang.

​​Selain aspek politik, Adam turut mengaitkan kepentingan penyatuan politik Melayu-Islam dengan pengukuhan ekonomi rakyat, khususnya dalam isu keterjaminan makanan (food security) serta pemanfaatan tanah di negeri-negeri Pantai Timur seperti Pahang, Kelantan dan Terengganu.

​”Bila kita berpakat atas nama politik Melayu-Islam, ekonomi kita bertambah baik, orang Melayu puas hati dan ada peluang perniagaan yang sejajar dengan pembangunan seperti ECRL.

​”Kami veteran dengan ikhlas hati menyokong ucapan Presiden dan akan bekerja keras sepanjang pilihan raya akan datang untuk memastikan kuasa dapat diambil balik ke tangan kita,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles