TAMPIN: Tempoh 12 jam selepas pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, suasana di Balai Kediaman Rasmi Tunku Besar Tampin pagi ini bertukar tegang apabila beberapa pembesar adat negeri dilaporkan tidak dibenarkan memasuki kawasan balai untuk menghadiri Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU).
Kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu menyaksikan berlaku pertikaman lidah antara pembesar adat dan pihak berkuasa yang mengawal pintu masuk utama selepas mereka dimaklumkan tidak mempunyai kebenaran untuk memasuki kawasan berkenaan.
Antara yang hadir ialah Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah; Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad; Undang Luak Rembau, Datuk Abdul Rahim Yasin serta Datuk Shahbandar Sungai Ujong, Datuk Seri Badarudin Abdul Khalid. Turut berada di lokasi ialah bekas Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Tokoh Budaya dan Adat Negeri Sembilan, Tan Sri Rais Yatim.
Muhammed secara terbuka meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan tersebut dan menyifatkannya sebagai satu penghinaan terhadap institusi adat Negeri Sembilan.
Beliau menegaskan kedudukan Datuk Undang perlu dihormati walaupun memahami anggota keselamatan hanya melaksanakan arahan yang diterima.
Rais turut mempertikaikan larangan itu dengan mempersoalkan alasan pembesar adat yang hadir atas urusan rasmi dihalang daripada memasuki kawasan balai.
Keadaan bagaimanapun kembali terkawal selepas Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman, tampil memberi penjelasan kepada kumpulan pembesar adat bahawa anggota yang bertugas hanya menjalankan arahan dan tidak mempunyai kuasa untuk mengubah keputusan tersebut.
Kemelut itu akhirnya diselesaikan apabila Tunku Besar Tampin, Syed Razman Ibni Almarhum Tunku Syed Idrus Al-Qadri, hadir sendiri di pintu masuk utama dan mengarahkan pintu pagar dibuka.
Susulan arahan tersebut, pihak polis membuka laluan dan membenarkan semua pembesar adat serta jemputan kenamaan memasuki kawasan balai bagi menghadiri Sidang Khas DKU. Namun, pengamal media dan orang awam masih diminta menunggu di luar sehingga sidang selesai.
Insiden itu berlaku sehari selepas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, mengumumkan pembubaran DUN Negeri Sembilan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Pembubaran berkenaan membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang dijangka diadakan dalam masa terdekat bagi membentuk kerajaan negeri baharu untuk penggal lima tahun akan datang.










