DAP Tangguh Kongres Kebangsaan, Fokus Hadapi PRN Johor, N. Sembilan

KUALA LUMPUR: DAP menangguhkan Persidangan Kebangsaan parti yang asalnya dijadual berlangsung pada 12 Julai ini kepada 16 Ogos bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, berkata keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat bulanan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) yang diadakan malam tadi susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di kedua-dua negeri berkenaan.

Menurut beliau, parti turut menetapkan sasaran untuk mempertahankan semua kerusi yang disandang ketika ini di Johor dan Negeri Sembilan, selain merancang untuk bertanding di beberapa kerusi tambahan di Johor.

Bagaimanapun, katanya, keputusan muktamad mengenai agihan kerusi masih tertakluk kepada rundingan bersama parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang dijangka dimuktamadkan selewat-lewatnya hujung minggu ini.

“Keputusan akhir akan dibuat selepas rundingan bersama rakan-rakan dalam PH selesai,” katanya.

Dalam pada itu, Loke memaklumkan proses pemilihan calon bagi mewakili DAP dalam kedua-dua PRN akan dikendalikan oleh Jawatankuasa Pemilihan Calon parti.

Jawatankuasa tersebut terdiri daripada beliau sendiri bersama Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo, Timbalan Pengerusi Kebangsaan Nga Kor Ming, Ketua Wanita DAP Teo Nie Ching dan Ketua Parlimen DAP Chong Chieng Jen.

Pada Isnin lalu, Johor menjadi negeri pertama membubarkan DUN apabila Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, mengumumkan pembubaran DUN berkuat kuasa 1 Jun selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Semalam, Negeri Sembilan turut mengambil langkah sama apabila Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun, mengumumkan pembubaran rasmi DUN selepas memperoleh perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

BBerkaitan

Latest articles