Pembubaran DUN N. Sembilan Dipersoal, BN Persoal Tindakan Kerajaan Negeri

SEREMBAN: Keputusan kerajaan Negeri Sembilan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada lewat malam tadi mengundang pelbagai persoalan, terutama apabila ia dibuat hanya beberapa jam sebelum Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) yang dijadual berlangsung hari ini.

Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Dr Armand Azha Abu Hanifah berkata, tindakan tersebut menimbulkan persoalan sama ada pembubaran itu mempunyai kaitan dengan sidang DKU yang dikatakan bakal membincangkan isu penting melibatkan institusi diraja dan kedudukan pemerintahan negeri.

Menurut beliau, rakyat berhak mengetahui mengapa kerajaan negeri tidak menunggu terlebih dahulu keputusan atau ketetapan yang bakal dicapai menerusi sidang berkenaan sebelum mengambil langkah membubarkan DUN.

“Sekiranya kerajaan negeri yakin semua tindakan yang diambil selama ini mematuhi Perlembagaan Negeri Sembilan dan Undang-Undang Tubuh Negeri, mengapa perlu bertindak pada saat akhir?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Armand turut membangkitkan persoalan sama ada pembubaran tersebut berkait dengan keperluan perlembagaan yang menetapkan persidangan DUN perlu diadakan sebelum 6 Jun, bagi mengelakkan dewan terbubar secara automatik selepas tempoh enam bulan tanpa sidang.

Beliau berkata, rakyat perlu diberikan penjelasan sama ada langkah itu merupakan prosedur pentadbiran biasa atau usaha mengelakkan implikasi tertentu yang mungkin timbul susulan perkembangan dalam sidang DKU.

“Tindakan yang dibuat pada saat-saat akhir ini bukan sahaja gagal meredakan persoalan yang timbul, malah membuka ruang kepada lebih banyak spekulasi dalam kalangan rakyat,” katanya.

Menurutnya, rakyat Negeri Sembilan berhak menerima penjelasan yang telus dan menyeluruh bagi memastikan keyakinan terhadap institusi pemerintahan negeri terus terpelihara.

Beliau juga mempersoalkan kedudukan pembubaran DUN tersebut ketika isu berkaitan institusi diraja negeri masih belum menemui penyelesaian yang jelas.

Dalam perkembangan sama, Armand menegaskan bahawa Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan kini bersedia menghadapi pilihan raya negeri yang bakal diadakan susulan pembubaran DUN.

Katanya, seluruh jentera parti di peringkat negeri dan kawasan perlu memperkukuhkan gerak kerja bagi memastikan BN dapat kembali meraih mandat rakyat menerusi proses demokrasi.

BBerkaitan

Latest articles