SEREMBAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan secara rasmi dibubarkan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, sekali gus membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pembubaran DUN itu dibuat selepas permohonannya mendapat perkenan daripada Tuanku Muhriz bagi membolehkan rakyat menentukan semula mandat pentadbiran negeri.
Pembubaran berkenaan menamatkan kemelut politik yang berlarutan sejak beberapa minggu lalu apabila kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) bertindak menarik sokongan terhadap kerajaan negeri yang dipimpin Aminuddin.
Krisis tersebut tercetus susulan kontroversi membabitkan empat Undang yang didakwa berusaha menyingkirkan Tuanku Muhriz daripada jawatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, sekali gus mencetuskan ketegangan dalam landskap politik negeri.
Walaupun kepimpinan tertinggi UMNO kemudiannya mengarahkan semua ADUN BN kembali menyokong kerajaan negeri, tekanan politik yang berterusan menyebabkan pelbagai pihak melihat pembubaran DUN sebagai penyelesaian terbaik.
Malah, pemimpin daripada Pakatan Harapan (PH) dan UMNO sebelum ini secara terbuka menggesa agar DUN dibubarkan bagi membolehkan mandat baharu diperoleh menerusi pilihan raya.










