KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan memberi jaminan bahawa peruntukan untuk kawasan Parlimen Subang dan Petaling Jaya akan terus disalurkan meskipun kedua-dua Ahli Parlimennya tidak lagi mempunyai akses kepada portal MyKhas.
Jabatan Perdana Menteri (JPM) menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) memaklumkan, dana berkenaan akan diurus dan disalurkan secara langsung oleh pihaknya bagi memastikan program serta keperluan rakyat di kedua-dua kawasan tidak terjejas.
Menurut ICU, langkah itu bertujuan memastikan pelaksanaan inisiatif kerajaan berjalan lancar dan manfaatnya terus dinikmati masyarakat setempat.
Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, dilaporkan kehilangan akses kepada portal tersebut sejak minggu lalu selepas menghadiri pelancaran Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang dikaitkan dengan bekas pemimpin PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.
Wong sebelum ini turut menyatakan kesediaannya untuk bertanding atas tiket Bersama pada Pilihan Raya Umum akan datang.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung PKR, Bryan Ng mempertahankan tindakan berkenaan dengan menyifatkannya sebagai implikasi daripada pendirian politik yang diambil oleh kedua-dua wakil rakyat tersebut.
Beliau menegaskan bahawa seseorang tidak boleh menyokong pihak yang berhasrat mencabar kerajaan, namun pada masa sama terus menuntut kemudahan dan dana yang disediakan oleh kerajaan Persekutuan.










